Categories
PBT SELANGOR

MBPJ muncul juara SUKANUN 2019

SHAH ALAM, 25 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2019 apabila berjaya mengumpul 102 mata.

Kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 19 hingga 26 Julai itu turut menyaksikan satu lagi wakil Lembah Klang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) muncul naib juara.

Walaupun DBKL dan MBPJ berkongsi jumlah mata sama namun, MBPJ diisytiharkan pemenang keseluruhan berdasarkan pungutan pingat.

MBPJ memungut lima emas dan tiga perak berbanding DBKL dua emas, tiga perak serta tiga gangsa.

Pada kejohanan kali ke-11 itu turut menyaksikan Lembaga Hasil Dalam Negeri meraih tempat ketiga dengan 90 mata dan diikuti rapat satu lagi kontinjen Lembah Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam di tempat keempat dengan 89 mata.

Manakala UiTM berada di tempat kelima (84 mata) diikuti tempat keenam, Majlis Perbandaran Subang Jaya (79) dan ketujuh, Majlis Perbandaran Klang (63).

Kejohanan dwi tahunan itu disertai 5,175 atlit bersama 739 pegawai yang mewakili 63 kontinjen badan berkanun seluruh negara.

Kejohanan kali ini mempertandingkan sebanyak 23 acara antaranya bola sepak sembilan sebelah, sepak takraw, bola jaring dan badminton.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Kanselor UiTM (Jaringan Industri, Komuniti Alumni dan Keusahawanan), Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.