Categories
AGENDA NASIONAL

MOA: Tiada lagi import cili merah dari Vietnam tahun ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam dibenarkan sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, ini berikutan pemantauan persampelan cili merah dari negara berkenaan menunjukkan kandungan ‘maximum residue limit’ (MRL) melebihi paras dibenarkan.

“Kementerian juga telah menghantar notifikasi kepada pihak berkuasa Vietnam bagi mengambil tindakan sewajarnya dan melaporkan tindakan pencegahan yang membolehkan penggantungan import permit ditamatkan.

“Kementerian juga menetapkan syarat sanitasi dan fitosanitasi bagi kemasukan cili segar dari Vietnam seperti mensyaratkan pensijilan amalan pertanian baik selain menggalakkan penanaman dan meningkatkan pengeluaran cili tempatan yang bebas racun serta berkualti bagi memenuhi permintaan cili dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara di sini, hari ini menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad.

Tze Tin berkata, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan lebih teliti bagi sebarang produk pertanian khususnya dari Vietnam.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu kesahihan penularan video makanan pemprosesan yang didakwa beracun antaranya dengan mewarnakan durian supaya kelihatan lebih segar, beliau berkata, ia adalah video lama dan tidak berlaku di negara ini.

-BERNAMA