Categories
NASIONAL

Parlimen: MOA bawa isu pinda Akta Perikanan 1985

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan membawa Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bagi menangani pencerobohan nelayan asing, pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jemaah Menteri pada 26 Jun lalu bersetuju supaya kementerian meminda Akta Perikanan 1985.

“Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 akan diangkat untuk bacaan kali pertama dan kedua semasa Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Keempat Belas Tahun 2019.

“Antara pindaan yang dicadangkan bagi menangani pencerobohan nelayan asing dalam RUU ini adalah menaikkan denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317 bagi vesel (kapal) penangkapan ikan asing yang menceroboh perairan Malaysia, iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta bagi nakhoda dan bagi setiap anggota kru dari RM100,000 kepada RM600,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat.

Halimah mengemukakan persoalan berhubung kesediaan MOA untuk meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan asing ke perairan negara seterusnya mengenakan hukuman berat ke atas pelaku.

Dalam pindaan yang dicadangkan, turut dimasukkan penalti baharu denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317 bagi kesalahan yang dibuat menggunakan vesel penangkapan ikan tempatan yang beroperasi di laut lepas, iaitu tidak melebihi RM4 juta.

Salahuddin berkata, cadangan pindaan RUU turut menambah baik Seksyen 31 Akta 317 berkaitan pengkompaunan selaras akta terkini yang diluluskan di Parlimen dengan memperjelaskan lagi kuasa Ketua Pengarah Perikanan dan memasukkan peranan Pendakwa Raya dalam memutuskan kes kompaun serta pendakwaan.

Selain itu, subseksyen berkenaan juga memperjelas tatacara berhubung pengkompauan dengan amaun perlu dibayar dalam tempoh ditetapkan dan jika gagal, pendakwaan boleh dimulakan.