Categories
NASIONAL

Polis serbu pusat panggilan judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Taktik sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan rumah kedai sebagai pusat panggilan kegiatan itu terbongkar, selepas polis menahan lima individu termasuk penganjurnya dalam serbuan di Jalan Sentul, di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/ Gangsterism Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 23 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan pukul 4.30 petang itu.

“Antara barang yang dirampas adalah tiga komputer dan tujuh telefon bimbit. Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak April,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata sindiket itu akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rawak dan meminta pelanggan memuat naik aplikasi tertentu untuk bermain judi.

“Kebanyakan pelanggan, warga tempatan dan sindiket ini mampu mengaut keuntungan RM100,000 sebulan,” katanya.

Rohaimi berkata kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut.

-BERNAMA