SEREMBAN, 16 OGOS: Pertemuan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di sini, hari ini berlangsung dalam suasana penuh emosi.
Bersama linangan air mata, Timbalan Perdana Menteri memeluk ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, ketika ditemukan di resort berkenaan, yang dibuat secara tertutup.
“Timbalan Perdana Menteri kelihatan sedih sepanjang pertemuan itu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang mengiringi Dr Wan Azizah bersama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof, menurut laporan asal Bernama.
Lee Koon turut memaklumkan Meabh dan suaminya Sebastien Marie Philipe didengar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha yang dijalankan dalam kes itu.
Wan Azizah bagaimanapun enggan mengulas hasil pertemuan itu apabila dihampiri pemberita kemudian.
Beliau hanya menyebut keluarga berkenaan memohon diberi privasi semasa menghadapi waktu sukar ini.
Pada 13 Ogos lalu, Nora Anne, 15, ditemui mati 10 hari selepas kehilangannya dari vila percutian di resort eko-pelancongan dekat sini, pada 4 Ogos lalu.
Hasil post-mortem mendapati remaja berkeperluan khas itu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kemungkinan akibat kelaparan dan stres.
Dr Wan Azizah terdahulu diberi taklimat berhubung kes itu oleh Mohamad, di balai polis Pantai di sini.
Ketika ditemui pemberita di sini, beliau menyifatkan kematian Nora Anne sebagai sesuatu yang tragis dan amat menyedihkan.
Beliau turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat atas usaha tanpa mengenal penat untuk mencari Nora Anne, yang mayatnya dijumpai di gaung kira-kira 2.5 km dari eko-resort itu pada hari ke-10 operasi.