Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki maut dikisar mesin pembersih bijih besi

GUA MUSANG, 3 OGOS: Seorang lelaki warga Thailand maut setelah terjatuh ke dalam mesin pembersih bijih besi di kawasan lombong Kampung 5, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata, mayat Roheemee Da-oh, 48, ditemui dalam keadaan perut terburai kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai operator mesin palong bijih itu sedang melakukan kerja pemeriksaan di kawasan palong terbabit apabila kakinya tergelincir lalu terjatuh ke dalam palong.

Katanya, ketika itu mesin pembersih bijih besi sedang beroperasi menyebabkan badannya turut dikisar bersama-sama bijih.

“Kejadian itu disaksikan seorang lagi pekerja di situ lalu bertindak segera menutup suis untuk memberhentikan mesin palong terbabit,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika kejadian mangsa masih bernyawa sebelum meninggal dunia sejurus dikeluarkan.

Katanya, mangsa yang berasal dari Narathiwat, Thailand bekerja di lombong bijih itu sejak lapan bulan lepas sebagai operator dan bertanggungjawab mengendali tugasan menjaga mesin serta palong.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut isterinya untuk dikebumikan di Thailand,” katanya.

Kes kematian mangsa yang ditemui di dalam mesin palong bijih besi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-BERNAMA