Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MAQIS perlu tambahan 800 anggota baharu

SEPANG, 20 Ogos: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) memerlukan tambahan 800 anggota baharu bagi berdepan pelbagai isu dan cabaran di 57 pintu masuk di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jabatan itu dengan kekuatan 463 anggota sekarang tidak mencukupi untuk berdepan pelbagai isu seperti penguatkuasaan, penyeludupan spesis benih dan penyakit.

“Sekarang ini pula isu berkaitan pembelian dalam talian di mana barang (keluaran pertanian dan agromakanan) dapat melepasi operasi manual dan ini sudah pasti memerlukan kepakaran dan peralatan yang semakin canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Lafaz Ikrar dan Pelancaran Keramat MAQIS, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, pihaknya akan membawa isu penambahan anggota MAQIS ke mesyuarat Kabinet untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bukan satu permohonan yang suka-suka tetapi saya faham betapa pentingnya jumlah anggota penguatkuasaan ditambah,ā€¯katanya.

Pada masa sama, beliau turut berbangga kerana setakat ini tiada isu berkaitan anggota MAQIS terbabit dengan salah guna kuasa atau didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Keramat MAQIS yang dilafazkan setiap hari sebelum pertukaran syif akan menjadi peringatan kepada anggota berhubung kepentingan menjaga integriti dan tidak melakukan penyelewengan semasa bertugas, katanya.

-BERNAMA