Categories
AGENDA JENAYAH

Mayat bayi perempuan ditemui di tepi loji air

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Mayat bayi perempuan berusia lapan bulan dengan kesan lebam di kepala dan kaki ditemukan di tepi Loji Rawatan Kumbahan Taman Kinrara, Puchong dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rusdi Daud berkata, polis dimaklumkan mengenai penemuan bayi itu pada pukul 1.18 petang oleh seorang pemandu lori.

“Terdapat kesan suntikan imunisasi di lengan kiri mayat bayi berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

-BERNAMA