Categories
BERITA UTAMA

Ribut: Polis terima 35 laporan setakat 2 pagi

LANGKAWI, 10 OGOS: Polis menerima 35 laporan berhubung pelbagai kerosakan ekoran ribut di pulau ini, setakat 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya juga yakin laporan yang diterima akan bertambah memandangkan banyak lokasi di pulau itu terjejas dengan kejadian terbabit.

“Setakat 2 pagi tadi, polis terima 35 laporan, antaranya membabitkan kerosakan rumah, kenderaan dan sebagainya. Setakat ini, kita juga belum terima sebarang laporan kehilangan nyawa akibat kejadian ribut itu.

“Kecuali ada maklumat berhubung kecederaan ringan dialami pekerja hotel serta penduduk sekitar kawasan ini ekoran ditimpa dahan dan ranting, namun mereka sudah mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Jalan Pantai Tengah di sini pagi ini.

Mohd Iqbal berada di lokasi berkenaan bagi memantau kerja pembersihan pokok tumbang dan kabel elektrik terjatuh di atas jalan raya yang dilaksanakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi dan Polis Diraja Malaysia.

Turut membantu kerja itu ialah Bomba Komuniti Pantai Chenang dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad bersama orang awam.

Mohd Iqbal turut minta orang ramai yang mengalami kerugian harta benda untuk tampil membuat laporan bagi memudahkan sebarang tuntutan kelak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat yang turut berada di lokasi terbabit berkata, pihaknya akan membuat bancian bagi mengenal pasti jumlah rumah yang mengalami kerosakan di kawasan berkenaan.

“Kita akan banci bagi mendapatkan jumlah sebenar, kemudian akan diusahakan bantuan kepada rumah yang layak mengikut kriteria ditetapkan, bagaimanapun bantuan ini tidak membabitkan premis perniagaan.

“Keutamaan bantuan juga akan dinilai berdasarkan keperluan sebagai contoh ada sebuah rumah di Kampung Perana bakal mengadakan kenduri Selasa depan (13 Ogos), namun ribut yang berlaku tadi mengakibatkan bumbung rumah berkenaan tercabut,” katanya.

-BERNAMA