SEPANG, 13 OGOS: Pelbagai cabaran menarik menanti peserta dalam program menyusuri Sungai Sepang Besar, pada 17 hingga 18 Ogos.
Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dalam kenyataan memaklumkan, program sempena Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang itu dijadual bermula pada 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Selain berpeluang menyusuri Sungai Sepang, peserta boleh menyaksikan sendiri keindahan Hutan Paya Bakau dan melihat aktiviti nelayan tradisional serta merasai pengalaman memberi makanan kepada haiwan liar.
“Peserta juga akan dibawa ke persinggahan rumah rakit dan berpeluang merakam swafoto di Pantai Pasir Putih yang juga muara sungai berkenaan,” katanya.
Penyertaan bagi program ini dibuka kepada mereka berusia tujuh tahun dan ke atas sahaja dengan bayaran tiket serendah RM10 (kanak-kanak) dan RM20 (Dewasa).
Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi urusetia (Fauzi 018-2557220) atau (Kamal 013-2323344) dan (Nisa 011-37122496).