Categories
AGENDA GLOBAL

Twitter, Facebook gantung akaun lemahkan protes di Hong Kong

HONG KONG, 20 OGOS: Twitter Inc (Twitter) dan Facebook Inc (Facebook) bertindak menggantung akaun media sosial yang beroperasi dari tanah besar China bagi melemahkan protes di Hong Kong.

Twitter memaklumkan, syarikat itu menggantung 936 akaun dan operasi yang disyaki dikendalikan oleh beberapa pihak di China.

“Kesemua akaun itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian lebih besar, iaitu kira-kira 200,000 akaun yang sudah digantung sebelum beroperasi dengan lebih aktif,” katanya lapor AFP.

Selain itu, Facebook berkata, mereka juga sudah mengeluarkan akaun dan laman daripada rangkaian operasi lebih kecil, selepas menerima maklumat daripada Twitter.

Katanya, hasil siasatan mendapati akaun itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu yang dikaitkan dengan Kerajaan China.

Tunjuk perasaan yang sedang berlaku di Hong Kong adalah salah satu cabaran besar yang terpaksa dihadapi Presiden Xi Jinping, sejak mengambil alih kuasa pada 2012.

Pada masa sama, China turut mengecam tindakan Taiwan menawarkan perlindungan suaka kepada penduduk Hong Kong yang menghadapi pertuduhan susulan pembabitan dalam protes antikerajaan.

Jurucakap Kabinet China bagi Jabatan Hal Ehwal Taiwan, Ma Xiaoguang memberi amaran kepada parti pemerintah Taiwan supaya tidak mencampuri urusan Hong Kong dan berhenti menggalakkan penjenayah.

“Pihak berkuasa Taiwan bukan sahaja melindungi jenayah segelintir penunjuk perasaan Hong Kong malah menyemarakkan kesombongan mereka kerana memusnahkan Hong Kong,” kata Xiaoguang.