Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP komited promosi produk halal

BANGI, 24 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) komited dalam mempromosi produk halal di negara ini bagi memastikan 32 juta pengguna memahami, mengetahui dan mempratikkannya.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pengguna perlu memilih produk halal sebagai pilihan utama mereka khususnya umat Islam di negara ini.

Katanya, golongan bukan Islam juga sebenarnya sudah lama terdedah dengan produk halal yang dianggap selamat, bersih dan sihat untuk digunakan.

“Oleh itu, pihak kementerian akan terus memperkasakan gerakan kepenggunaan kepada masyarakat melalui pelbagai landasan dan badan bukan kerajaan yang ada.

“Malah, Gerakan Kepenggunaan Masjid (Gema) juga sudah mula dilaksanakan sejak Februari lalu dan selepas ini kita akan menggunakan pelbagai landasan bagi memperkasakan aspek halal dalam kalangan pengguna di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Persidangan Fiqh Muzakarah & Antarabangsa Fiqh 2019 (MFIFC 2019) edisi kelima di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, hari ini.

Mengulas sejauh mana komitmen KPDNHEP membanteras logo halal palsu, Badrul Hisham berkata, pihaknya komited memerangi kes itu berdasarkan aduan dibuat pihak penguat kuasa bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hampir 1,000 premis kita lakukan pemeriksaan baru-baru ini bagi memastikan pengguna tidak keliru terhadap logo halal palsu.

“Mana-mana pihak salah guna logo palsu mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti termaktub dalam Akta Perdagangan 2011,” katanya.