Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP komited promosi produk halal

BANGI, 24 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) komited dalam mempromosi produk halal di negara ini bagi memastikan 32 juta pengguna memahami, mengetahui dan mempratikkannya.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pengguna perlu memilih produk halal sebagai pilihan utama mereka khususnya umat Islam di negara ini.

Katanya, golongan bukan Islam juga sebenarnya sudah lama terdedah dengan produk halal yang dianggap selamat, bersih dan sihat untuk digunakan.

“Oleh itu, pihak kementerian akan terus memperkasakan gerakan kepenggunaan kepada masyarakat melalui pelbagai landasan dan badan bukan kerajaan yang ada.

“Malah, Gerakan Kepenggunaan Masjid (Gema) juga sudah mula dilaksanakan sejak Februari lalu dan selepas ini kita akan menggunakan pelbagai landasan bagi memperkasakan aspek halal dalam kalangan pengguna di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Persidangan Fiqh Muzakarah & Antarabangsa Fiqh 2019 (MFIFC 2019) edisi kelima di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, hari ini.

Mengulas sejauh mana komitmen KPDNHEP membanteras logo halal palsu, Badrul Hisham berkata, pihaknya komited memerangi kes itu berdasarkan aduan dibuat pihak penguat kuasa bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hampir 1,000 premis kita lakukan pemeriksaan baru-baru ini bagi memastikan pengguna tidak keliru terhadap logo halal palsu.

“Mana-mana pihak salah guna logo palsu mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti termaktub dalam Akta Perdagangan 2011,” katanya.

Categories
SELANGOR

JAIS: Peranan ibu bapa pastikan produk makanan halal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyaran ibu bapa supaya lebih berwaspada dalam memberi makanan ringan kepada anak mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, ibu bapa patut menyemak dahulu logo halal dan bahan terkandung dalam produk terbabit.

“Pastikan ada logo Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Malaysia.

“Bagaimanapun, sekiranya was-was atau kurang pasti boleh menyemak di internet dengan menaip Direktori Halal Malaysia dan taip nama produk atau syarikat pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Wan Najmiah berkata, ibu bapa juga disaran menasihati atau berpesan kepada anak masing-masing supaya berwaspada dengan makanan ringan yang mereka beli.

Terdahulu, JAIS turut membangunkan aplikasi menyemak status halal menerusi telefon pintar bagi memastikan pengguna di negeri ini boleh menikmati makanan kegemaran tanpa rasa was-was.

Langkah membangunkan aplikasi itu dibuat bagi mengelak penipuan dengan menyalahgunakan logo halal.

Categories
BERITA UTAMA

Potensi produk halal rentasi sempadan agama dan negara

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

“KITA adalah apa yang kita makan”. Ia menjelaskan betapa pentingnya memilih makanan yang menepati piawaian halal dan suci kerana ia menentukan tahap kesihatan jasmani juga rohani. Salah pilih makan merana badan.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan isu produk dicemari DNA terlarang serta premis makanan ternama tidak mempunyai dan melanggar piawaian halal. Masyarakat pantas memberikan respon kepada isu ini dan menjadi viral di laman sosial.

Pendedahan menggemparkan ini membuka perbincangan keperluan pengguna perlunya mencari produk halal yang mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menaikkan keyakinan bagi memilih produk menepati piawaian ditetapkan.

HalalFest Masjid Negeri -MB (5)Sebenarnya, potensi industri halal dunia mempunyai peluang besar untuk diterokai. Dengan jumlah populasi penduduk Islam hampir dua bilion seluruh dunia serta potensi jualan mencecah hampir RM9.2 trilion setahun peluang terbuka untuk diterokai dan dirintis.

Kedudukan strategik Malaysia juga kelengkapan infrastruktur serta galakan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi pemangkin untuk menghasilkan produk halal berkualiti juga bertaraf antarabangsa.

Ia juga bersandarkan ekosistem dan pembangunan prasarana halal lengkap serta tidak boleh didapati di negara lain seluruh dunia yang menyumbang kepada nilai eksport tahunan positif.

Malaysia adalah negara pertama di dunia yang membangunkan piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500 2004. Ia menjadi kelebihan dan kepakaran negara untuk menerajui industri halal di peringkat global.

halalMengikut unjuran dianggarkan, kepesatan industri produk halal dan kewangan Islam mewujudkan nilai AS$7 trilion=(RM22.4 trilion), industri produk halal dan kewangan Islam kini muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.

Di Selangor, ia turut diberikan perhatian serius Kerajaan Negeri apabila Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyatakan hab halal yang sedang dilaksanakan di Pulau Indah, Klang perlu diperluaskan di kawasan memiliki prasarana, infrastruktur serta teknologi tinggi seperti Cyberjaya bagi menjayakan usaha berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Pulau Indah sebagai ‘Halal International Selangor’ yang menetapkan penguasaan dalam dan luar negara sebagai sasaran baru serta bersifat menyeluruh.

“Baru-baru ini, saya melawat Jepun dan Korea untuk menarik pelabur asing supaya dapat menggunakan kemudahan zon industri yang dibangunkan di Pulau Indah. Alhamdulillah sambutan amat baik serta perlu diperluaskan,” katanya.

Sementara itu, permohonan pensijilan halal di Selangor meningkat hampir 500 peratus sejak 2012 melalui penambahbaikan pengurusan halal dari semasa ke semasa.

HalalFest Masjid Negeri -MB (7) (1)Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim menyatakan permohonan yang sebelumnya hanya 250 setahun bertambah kepada sekitar 1,200 sejak beberapa tahun lalu.

Sebenarnya, keutamaan produk halal bukan sahaja terletak pada sijil dan logo untuk memastikan kehalalannya tetapi penghasilan produk itu juga harus mementingkan aspek kualiti, kebersihan dan kesejahteraan berbanding penggunaan produk berkenaan.

Isu produk makanan halal bukan main-main. Ia adalah isu penting dan menjadi perhatian umum. Lihat sahaja kes produk coklat sebelum ini yang didakwa mempunyai DNA terlarang sehingga menjejaskan jualannya.

Apabila disebut sahaja industri halal, kita hanya fikir ia tertumpu kepada industri produk berasaskan makanan dan minuman.

Realitinya, ia merangkumi sektor lebih besar merangkumi farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan dan kewangan, jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, pelancongan serta bidang lain di dalam ekosistem industri halal.

Malah, kini sektor pelancongan dan perhotelan juga turut memberikan keutamaan kepada penyediaan makanan patuh syariah juga standard ‘Halalan Toyyiba’.

Peningkatan kesedaran dan pendidikan serta promosi mempengaruhi perkembangan industri halal. Ia berlaku kerana masyarakat kini lebih mementingkan produk halal yang mempunyai standard kebersihan dan kesucian tinggi.

Mereka akan mengelakkan diri daripada memakan makanan tidak sihat dan berlemak dalam kuantiti yang banyak. Contohnya, masyarakat bukan muslim mengurangkan pengambilan daging khinzir kerana berlemak dan boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Keadaan ini menggalakkan perkembangan industri halal terutama industri makanan yang membekalkan makanan yang selamat, berkualiti tinggi dan bersih serta jaminan daripada segi standardnya.

Apa yang perlu diberi perhatian kerajaan adalah penguatkuasaan logo halal dengan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan apabila terdapat pengusaha tidak mematuhi prosuder berkenaan.

Undang-Undang sedia ada berkenaan logo halal perlu dikemaskini bagi memastikan penggunaannya tidak dipergunakan pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya tanpa keluluasan.

Adalah disyorkan pihak yang menyelia kelulusan halal dipertingkatkan daripada sumber manusia dan memperbaiki prosuder sedia ada bagi memastikan kelulusan halal pantas dan tepat.

Malah, penguasaha industri kecil dan sederhana yang belum memohon kelulusan penggunaan logo halal perlu digalakkan membuat permohonan supaya pasaran mereka lebih meluas dan diyakini diperingkat nasional juga antarabangsa.

Geran dan dana perlu disalurkan kepada pihak industri untuk mereka membangunkan produk halal juga melaksanakan promisi untuk meluaskan pasaran di peringkat global.

Kewujudan hab halal di negara ini juga perlu pemerkasaan dan promosi supaya ia dapat berfungsi menjana pembangunan ekonomi negara juga menghasilkan produk berkualiti menepati syariah untuk dipasarkan di seluruh dunia.

Institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan perlu mempertingkatkan kerjasama dalam menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) berterusan untuk meningkatkan kualiti produk halal supaya boleh memasuki semua pasaran antarabangsa yang mempunyai standard kualiti lebih ketat.

Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat melalui media sosial perlu dipergunakan sebaiknya untuk mempromosi produk halal dan mencetuskan kesedaran global dalam usaha menjadikannnya keutamaan.

Platform e-dagang perlu dibangunkan untuk menghubungkan berjuta-juta pengguna dengan tawaran perniagaan pasaran gaya hidup muslim yang dianggarkan bernilai AS$2.5 trilion (RM8 bilion).

Peluang pasaran kepada penduduk muslim dunia perlu diterokai sebaiknya. Pew Research Center menyatakan jumlah umat Islam menyamai Kristian masing-masing 32 peratus daripada jumlah penduduk dunia menjelang 2070.

Kajian sama juga menunjukkan umat Islam bakal menjadi masyrakat terbesar dunia menjelang 2100 iaitu 35 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Sementara dari sudut demografi, umat Islam dunia mempunyai masa depan cerah sementara umat lain menghadapi gejala kebekuan penduduk.

Secara purata, umat Islam kini berkembang 1.8 peratus setahun berbanding pertumbuhan penduduk dunia pada paras 1.12 peratus.

Sementara di Asia Tenggara, jumlah umat Islam hari ini adalah 40 peratus atau kira-kira 240 juta yang menjadikan Islam sebagai agama terbesar di rantau ini.

Malaysia sudah sekian lama bergantung kepada produk makanan dan minuman halal yang diimport dari luar negara berbanding dihasilkan di dalam negara pada nisbah 2:1.

Jika negara bukan Islam menyedari potensi besar ini dengan menghasilkan produk berkenaan maka peluang ini perlu diraih sebaik mungkin pengusaha tempatan dan muslim supaya produk dihasilkan menepati kehendak syariah sebaik mungkin.

Kini peluang terbuka luas, diharap potensi pasaran besar produk halal diraih sebaik mungkin untuk menghasilkan dan memasar produk halal yang mempunyai prospek besar serta cerah.

Untuk Malaysia dan khususnya Selangor menjadi hab halal antarabangsa, maka perancangan jangka pendek dan panjang perlu dirangka sebaik mungkin serta mempunyai matlamat jelas untuk merealisasikan hasrat ini.

Berita berkenaan penyalahgunaan logo halal perlu tegas ditangani penguatkuasa untuk memastikan keyakinan pengguna terhadap produk halal tidak luntur dan merudum. Pemantauan berterusan agensi kerajaan terlibat perlu diperhebatkan supaya tidak ada perasaan ragu-ragu dalam kalangan pengguna berterusan.

Selain itu, promosi pasaran produk halal patut agresif dan menyeluruh supaya mampu menarik minat pengguna bukan Islam kerana standard ditetapkan bukan hanya memenuhi kehendak halal, bahkan sihat dan suci juga boleh digunakan semua golongan.

Potensi pertumbuhan produk halal bukan sahaja terhad kepada pengguna Islam, bahkan semakin mendapat momentum dan penerimaan dalam kalangan pengguna bukan Islam kerana mereka kebiasaannya menganggap produk ini sudah melepasi pemeriksaan dan kawalan standard ketat.

Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Firman lain yang bermaksud, “Maka makanlah dari (sembelihan binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah al-An’aam, ayat 118).

* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Editor Selangor Kini