Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lebih 5 juta pengguna manfaat Bas Smart Selangor di Klang

OLEH: ALIFF HAIKAL

KLANG, 11 SEPT: Seramai 5,219,564 pengguna Bas Smart Selangor dicatatkan di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sehingga Ogos lalu.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,944,337 penumpang dicatatkan di laluan Klang (KLG) 1.

“Laluan berkenaan meliputi laluan Bandar Klang, Jalan Stesen, Jalan Istana, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Kim Chuan, Jalan Batu Unjur, Persiaran Ampuan Rahimah dan Jalan Raya Barat.

“Manakala 1,275,227 penumpang di laluan KLG 2 iaitu laluan Bandar Klang, Jalan Pasar, Leboh Tapah, Jalan Pekan Baru, Jalan Meru, Jalan Bahagia dan Jalan Haji Sirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis  Pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KLG3 & KLG4, di Dewan Hamzah, MPK, di sini, semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Ng Sze Han, bersama Dato’ Yasid Bidin menaiki Bas Smart Selangor Laluan KLG 3A baharu selepas selesai majlis perasmian bas itu di Dewan Hamzah, Klang, pada 10 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Yasid berkata, dengan penambahan laluan baru KLG 3 dan KLG 4 ini, pihaknya dapat menambah jumlah penumpang Bas Smart Selangor, sekali gus isu kesesakan di Bandar Klang juga dapat diatasi.

Katanya, kemudahan perkhidmatan bas percuma itu membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam memberi kemudahan yang terbaik.

“Warga Klang diharap dapat menggunakan dan menghargai kemudahan yang disediakan ini demi kebaikan bersama,” katanya.