Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantu Indonesia tangani masalah jerebu

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Malaysia akan membantu Indonesia dengan apa cara yang mungkin dan sesuai dalam menangani masalah jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Seklitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Beliau berkata Malaysia telahpun menyampaikan mesej itu kepada Indonesia, bagaimanapun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

“Pihak Malaysia melalui Kedutaan kita telah (menyatakan) untuk menghulurkan apa-apa sokongan atau bantuan yang diperlukan bagi memadam kebakaran, kita akan hulurkan bantuan kepada mereka (Indonesia).

“Kita siap sedia jika dan bila mereka menerima tawaran kita,” kata beliau ketika ditemui selepas mesyuarat khas Kabinet mengenai Kemakmuran Bersama di Perdana Putra di sini hari ini.

Yeo berkata oleh kerana ASEAN ketika ini tidak mempunyai akta jerebu rentas sempadan di peringkat serantau, penguatkuasaan berhubungn masalah jerebu perlu ditangani mengikuti negara individu itu sendiri.

“Oleh itu Indonesia hendaklah melakukan apa yang perlu bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah bertindak melanggar undang-undang,” kata beliau.

Dalam pada itu, Yeo berkata beberapa prosedur pembenihan awan akan dilakukan dalam bebereapa hari ini.

“Kita akan tumpukan untuk mencari masa yang sesuai untuk buat pembenihan awan di Selangor sebab kualiti udara telah pun merosot tapi kena tengok awan dan situasi awan.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang penting sekarang ialah memadamkan kebakaran hutan di Indonesia.

Katanya, menurut laporan, terdapat 30 syarikat bertanggung terhadap kebakaran hutan di Indeonsia.

-BERNAMA