Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ketuai lawatan ke pejabat MARA di Mesir

SHAH ALAM, 24 SEPT: Rombongan Selangor memulakan lawatan pertama dengan berkunjung ke Pejabat Majis Amanah Rakyat (MARA) di Alexandria, Mesir, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengetuai delegasi itu bersama Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin disambut oleh Pengarah MARA Mesir, Abdullah Samsudin dan pegawainya.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui MBI bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada mahasiswa berkenaan.

“Saya sempat beramah mesra dengan mahasiswa-mahasiswa Selangor dan Malaysia yang belajar di sini. Kebanyakan daripada mereka belajar dalam bidang pergigian dan perubatan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah MARA Mesir dan pasukan beliau yang menerima kunjungan kami.

“Kerajaan Negeri melalui MBI juga bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada mahasiswa di sana menjalankan kegiatan mereka,” tulisnya dalam hantaran Facebook beliau.

Amirudin Shari dan delegasi bergambar bersama pelajar ketika mengetuai lawatan ke pejabat MARA di Mesir pada 23 September 2019. Foto Facebook Amirudin Shari

Menerusi Belanjawan 2019, Kerajaan Negeri memperuntukan RM16.6 juta bagi membiayai Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor.

Biasiswa itu adalah Biasiswa Sagong Tasi, Biasiswa DYMM Sultan Selangor (Sekolah Alam Shah, Putrajaya) dan Biasiswa Menteri Besar.

Amirudin berkata, selain biasiswa peruntukan ini juga bagi membiayai Program Peduli Siswa Dalam Negara (IPTA/IPTS), Program Khas Kakitangan Awam, Program Khas Selangor Brain Bank (Pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga Phd) dan Program Khas Peduli Siswa Luar Negara.