Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan tambang bas RM110,100 buat 367 murid

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan tambang bas RM110,100 kepada 367 murid sekolah rendah daripada 10 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Bestari Jaya.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, peruntukan sebelum ini banyak diagihkan untuk program mesra rakyat seperti perayaan Deevapali dan Thaipusam.

“Pada program hari ini, bantuan subsidi tambang bas diserahkan kepada 64 murid daripada tiga buah sekolah iaitu SJK(T) Ladang Sungai Tinggi (33), SJK(T) Ladang Hopeful (15) dan SJK(T) Ladang Mary (16),” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, setiap murid menerima RM300 seorang bagi kegunaan membayar tambang bas kerana rumah mereka terletak berjauhan dari sekolah.

Beliau berkata demikian ketika sesi Penyerahan Subsidi Tambang Bas Untuk Anak-Anak Pekerja Ladang bertempat di Dewan Orang Ramai Ladang Sungai Tinggi di Bestari Jaya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini diharap dapat menampung perbelanjaan murid untuk ke sekolah.

“Selain bantuan untuk murid sekolah rendah, Kerajaan Negeri juga menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada setiap pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke pusat-pusat pengajian tinggi,” katanya.

Katanya, pada 2014, hanya 14 orang pelajar menerima bantuan menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi namun jumlah itu bertambah kepada 130 orang pada tahun ini.