Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inisiatif MBI dipuji, lulus permohonan bina kemudahan sekolah dalam tempoh singkat

GOMBAK, 25 FEB: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra di sini memuji tindakan segera diambil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam membantu sekolah berkenaan.

Yang dipertuanya Farizah Mohd Ramli berkata MBI hanya mengambil tempoh singkat untuk meluluskan permohonan pihaknya untuk menambah baik kemudahan di sekolah tersebut demi keselesaan murid.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Samudra, Farizah Mohd Ramli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya ingat lagi untuk projek susur gajah fasa dua, saya hantar permohonan bulan November dan kurang dua minggu MBI telefon pihak sekolah serta segera salurkan bantuan tunai ke akaun.

“Malah permohonan terbaharu kita pada Januari lalu juga kurang dua minggu sahaja terus bantuan disalurkan. Saya berterima kasih kerana kerja pantas yang diberikan MBI,” katanya, hari ini.

Sementara itu ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas, Saodah Tuwa berkata beliau bersama enam guru menghargai bantuan yang diberikan MBI kepada sekolah berkenaan.

“Sebelum ini kami tiada tandas guru dan perlu berkongsi dengan murid-murid, kami bersyukur atas bantuan ini selain pagar dan bumbung juga turut dibaiki.

“Mereka tidak menunggu lama untuk membantu. Segala keperluan ini disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja selepas kami memohon,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor mengadakan lawatan di kedua-dua sekolah berkenaan, hari ini.

Sebanyak RM35,000 telah disumbang MBI bagi program infrastruktur di dua sekolah itu pada hujung tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM1 juta baik pulih kemudahan sekolah, aktiviti pelajar 

GOMBAK, 24 FEB: Sejumlah RM1 juta diperuntuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menjayakan program melibatkan sekolah dan pelajar pada tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur sekolah dan RM500,000 untuk program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Peruntukan khusus ini pertama kali dilaksanakan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pihak sekolah dan PIBG.

“Sebelum ini kita ada pelbagai kategori cuma tahun ini kita lebih spesifik, maknanya sebelum ini sudah ada peruntukan untuk sekolah. Apabila kita lihat ada permintaan, jadi lebih baik buat secara khusus untuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan Sekolah Kebangsaan SK Taman Samudra di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima permohonan bantuan baik pulih melibatkan sekolah yang terjejas banjir.

“Jika ada pembaikan bumbung, pagar atau sebagainya boleh mohon untuk pembangunan infrastruktur manakala untuk program PIBG pula melibatkan pelajar seperti sukan juga boleh mohon.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Categories
ADN SELANGOR

40 pelajar susah di DUN Hulu Kelang dapat bantuan sekolah

GOMBAK, 20 FEB: Seramai 40 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima bantuan kembali ke sekolah hari ini.

Wakil rakyatnya Saari Sungib berkata setiap seorang diperuntuk RM100 dengan memilih sendiri kelengkapan di Pasaraya Hari-Hari di Taman Permata di sini.

“Kita beri peruntukan keseluruhan RM4,000 dan mereka boleh pilih beg, baju, alat tulis atau kasut yang diinginkan. Kita khususkan kepada pelajar sekolah dan Persatuan Kebajikan Ar-Rayyan Malaysia diberi tanggungjawab menguruskan program itu hari ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tong sampah kepada penduduk Flat PKNS AU1A/1 di sini.

Saari berkata bantuan sama diagihkan secara tunai tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memanfaatkan 40 pelajar.

Categories
ADN SELANGOR

50 murid terima kelengkapan sekolah sumbangan DUN Kampung Tunku, NGO

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 50 murid sekolah rendah yang tinggal di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya menerima perkakasan sekolah, kelmarin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata bantuan bagi meringankan beban ibu bapa yang masih terkesan Covid-19 itu disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) For The Kids dan Angkatan Demokrat.

“Antara barangan yang diberikan seperti botol minuman, bekas makanan, perkakasan menulis, peralatan mewarna dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan membantu si anak-anak kecil dalam mengejar ilmu,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku telah mengagihkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan susulan Covid-19.

Yi Wei berkata bantuan itu mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan berterusan demi memastikan tiada pihak terputus bekalan asas.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Beri semangat murid kembali sekolah, wakil rakyat agih bantuan tunai, beg

SHAH ALAM, 9 FEB : Wakil rakyat Selangor meneruskan usaha membantu keluarga kurang berkemampuan serta yang terkesan akibat Covid-19 antaranya melibatkan perbelanjaan kelengkapan sekolah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata seramai 450 pelajar menerima bantuan tunai dan kelengkapan yang diagih secara berperingkat sejak Disember tahun lalu sehingga kini.


ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar turun padang menyampaikan bantuan sekolah kepada pelajar di kawasannya pada Disember tahun lalu. Foto Pejabat ADN Meru

“Daripada jumlah itu 300 pelajar terima wang tunai RM100 daripada MBI (Menteri Besar Selangor Pemerbadanan)  manakala 150 pelajar lagi menerima jumlah sama sumbangan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru.

“Bantuan masih diagihkan sehingga sekarang, kita harap inisiatif ini meringankan beban ibu bapa yang mungkin terjejas pendapatan untuk membuat persediaan anak mereka kembali ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya baru selesai mengagihkan 400 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) kepada pelajar yang memasuki sesi persekolahan darjah satu.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada pelajar dalam Program Kembali Ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Dewan Bandar Baru MPKS, Kuala Selangor pada 22 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Seramai 300 pelajar lagi menerima bantuan RM100 tajaan MBI. Kita harap sumbangan ini membuka semangat baharu kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara fizikal,” katanya.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Categories
ADN SELANGOR

64 pelajar B40 DUN Seri Setia terima kelengkapan sekolah

PETALING JAYA, 8 FEB: Seramai 64 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Halimey Abu Bakar berkata bantuan baju, seluar, kasut, beg dan alat tulis disalurkan hasil sumbangan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan.

“Pemberian bantuan ini merupakan pusingan ketiga yang mana sebelum ini kita sudah mengagihkan keperluan sama kepada 167 murid melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan 800 pasaraya Mydin.

“Jadi, untuk kali ini kita minta ahli majlis untuk cari dan kenal pasti pelajar yang layak. Kita berterima kasih kepada pihak KDEBWM kerana tidak pernah jemu membantu kawasan Seri Setia,” katanya selepas penyerahan bantuan itu di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk agihan bantuan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan berkenaan.

“Ini antara program yang kita dapat laksanakan bagi membantu golongan kurang bernasib baik. Walaupun sibuk menguruskan kutipan sampah domestik di Selangor, kita juga tidak mahu melupakan mereka.

“Seri Setia merupakan DUN ketiga terpilih bagi program ini. Sebelum ini, kita membelanjakan jumlah sama untuk murid di Sekinchan dan Kinrara, insya-Allah akan cuba sebaik mungkin untuk bantu murid di seluruh DUN,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

40,000 pelajar terkesan bah dapat bantuan sekolah RM100

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Selangor mengagihkan bantuan persekolahan kepada kira-kira 40,000 pelajar negeri ini yang terkesan banjir besar pada Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agihan baucar bernilai RM100 akan diberikan berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Menurutnya, bantuan baju, seluar, kain, stokin dan kasut melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Jabatan Agama Islam Selangor.

“Insya-Allah mereka dapat sumbangan bernilai RM100 untuk ditebus di pusat penyampaian yang akan diumum nanti antara 18 hingga akhir Februari,” katanya.

Bercakap dalam sidang media Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata bantuan itu diselaras dengan bantuan lain oleh badan tertentu.

“Sekarang kita sedang kenal pasti dan menyemak semula senarai (murid) dari Jabatan Pendidikan Daerah dan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Shah Alam apabila seramai 4,276 mangsa banjir diselamatkan dengan 4,080 dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara.

 

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 600 pelajar susah sekitar Pandamaran terima bantuan RM100, beg sekolah

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 300 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima bantuan RM100 menerusi Program Kembali ke Sekolah.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata inisiatif disumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu merupakan langkah meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan.

“Saya turun ke 10 sekolah bagi mengagihkan bantuan ini. Dalam masa sama saya dapat melihat sendiri pelajar berkenaan di samping mengetahui bentuk bantuan diperlukan sekolah.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga pelajar terbabit. Kita harap sumbangan ini menaikkan semangat pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Sementara itu Leong berkata sebanyak 350 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) turut diagih kepada pelajar berkelayakan awal bulan ini sebagai usaha melengkapkan keperluan sekolah pelajar.

Categories
EXCO SELANGOR

Ringan beban ibu bapa, 119 murid susah dapat bantuan sekolah

SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 119 murid dari Pangsapuri Seri Cempaka Council Homes, Seksyen 16, Bangi menerima baucar persekolahan sumbangan Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd semalam.

Baucar bernilai RM70 bawah program Bingkisan Mesra Selangor bagi menampung perbelanjaan ibu bapa menyediakan kelengkapan anak-anak, kata EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Saya berharap anak-anak ini dapat menuntut ilmu sebaik mungkin supaya menjadi insan berjaya dan boleh membanggakan ibu bapa suatu hari nanti,” katanya menambah bantuan sama diagih kepada pelajar di tiga projek perumahan rakyat (PPR).

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga turut menasihati ibu bapa supaya menjaga mental dan fizikal anak masing-masing kerana ia aset tidak ternilai.

“Tumpuan membesarkan (anak) bukan sahaja melihat pada akademik, pemakanan (nutrisi) juga perlu dititikberatkan,” katanya lagi.

Categories
ADN SELANGOR

346 ahli Tawas DUN Permatang terima bantuan sekolah

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 346 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang lahir pada 2015 layak menerima bantuan persekolahan.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata bantuan beg sekolah, bekas makanan dan minuman serta alat tulis boleh diperolehi di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) mulai hari ini hingga 12 Februari.

“Bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri ini dapat meringankan beban keluarga kerana seperti sedia maklum harga sebuah beg sekolah sahaja lebih RM50.

“Jika sebuah keluarga itu mempunyai lebih seorang anak, bantuan seperti ini sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut berharap bantuan tersebut menjadi pembakar semangat buat anak-anak yang pertama kali menempuh alam persekolahan tahun ini.

Semakan boleh dibuat dibuat melalui pautan https://tawas.yawas.my/admin/semakan_pbms.php atau hubungi Hafiz (03-32812069) dan Faten (010-5573736).

Pada 4 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 44,484 ahli Tawas seluruh negeri menerima bantuan persekolahan tahun ini.

Katanya, edaran dibuat melalui setiap PKM dengan ibu bapa perlu mengambil kelengkapan tersebut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS peruntuk lebih RM32 juta bantu persekolahan 66,160 pelajar asnaf

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 66,160 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf menerima bantuan persekolahan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi menerusi Facebook memaklumkan bantuan pendidikan bagi sesi 2022 membabitkan kesan kewangan sebanyak RM32.6 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima kelengkapan sekolah pada kadar RM170, sekolah rendah agama (RM150) dan sekolah menengah (RM200).

“Pelajar ini akan menerima pakaian seragam, kasut, stokin, beg dan alat tulis. Bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM200 seorang turut diberi bergantung kepada tahap persekolahan,” katanya.

LZS menambah pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

“Ia akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit dalam akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes tertentu.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana anak ini dapat menerima manfaat bagi persediaan persekolahan mereka tahun ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Peruntuk RM4 juta bantuan sekolah, manfaat 40,000 murid terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri melaksanakan program Kembali Ke Sekolah khusus untuk murid yang terkesan akibat banjir pada Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM4 juta diperuntuk untuk menjayakan inisiatif tersebut yang dijangka memanfaatkan seramai 40,000 murid.

“Mekanisme pelaksanaan program tersebut sedang diperkemaskan dan kita akan laksanakan pada Februari nanti di setiap daerah melalui senarai nama ketua keluarga yang kita ada.

“Capaian atau kajian penerima layak dibuat oleh Kerajaan Negeri, agensi serta pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan ahli majlis. Kita harap inisiatif ini meringankan beban keluarga terkesan banjir,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di negeri ini ditutup sepenuhnya.

“Sebelum ini seramai 47,762 mangsa daripada 11,237 keluarga ditempatkan di 227 PPS. Dua PPS yang menempatkan 40 mangsa banjir daripada 12 keluarga di Kuala Langat juga ditutup dan mereka berpindah ke rumah masing-masing pagi  semalam,” katanya.