Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Barang keperluan dijamin cukup sempena Deepavali

SHAH ALAM, 25 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung kekurangan barangan makanan terutama membabitkan bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi semasa perayaan Deepavali.

“Bagi bekalan seperti kelapa, kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan kita akan pantau dari semasa ke semasa dan jika ada berlaku kekurangan pihak kementerian akan menambahkan bekalan bagi pastikan tiada peningkatan harga terjadi semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat Selangor anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pusat membeli-belah Aeon Mall Shah Alam di sini yang disempurnakan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Katanya program itu yang pada tahun lalu yang hanya disertai oleh sebuah pasar raya besar di sini kini berkembang sehingga ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

“Pada September tahun lalu lokasi pasar raya pertama bermulanya program ini ialah di AEON Mall Shah Alam ini, kemudian ia diperluaskan ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

Dari Mac tahun ini sehingga September lalu jumlah jualan keseluruhan program JTDR di pasar raya dan di outlet-outlet lain adalah sebanyak RM 5.6 juta,” katanya.

Katanya lagi kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan program seumpama ini supaya ia menjadi destinasi untuk pengguna mendapatkan hasil ladang segar dengan harga berpatutan.

-BERNAMA