Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: RM64.1 bilion sedia pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Komitmen kerajaan untuk melabur demi masa depan anak-anak dalam bidang pendidikan dan menyediakan pendidikan yang berkualiti jelas terlihat, apabila Kementerian Pendidikan (KPM) terus menjadi penerima peruntukan terbesar melalui Belanjawan 2020.

Ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan kepada kementerian itu pada tahun hadapan berbanding RM60.2 bilion pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020 bagi memastikan sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Ia meliputi peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM300 juta untuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM50 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta) dan Maktab Rendah Sains MARA (RM50 juta).

Turut menerima peruntukan itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Tahfiz (RM50 juta), Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian (RM25 juta), Sekolah Pondok yang berdaftar (RM25 juta), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (RM20 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebanyak RM15 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata bagi SK, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan KPM di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembentungan sebanyak RM12 juta sekali gus memberi manfaat kepada 2,000 sekolah bantuan kerajaan,” katanya.

-BERNAMA