Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gaji minimum naik RM1,200 di bandar utama

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar utama.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Pada Januari 2019, kerajaan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu akan meliputi empat perkara iaitu pertama, meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Katanya, kajian semula itu turut membabitkan langkah memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.

“Ketiga, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan keempat, memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan memperuntukan RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi taman asuhan kanak-kanak (taska) terutamanya di hospital dan sekolah bagi menambah baik persekitaran kerja bagi wanita dan ibu bapa.

“Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke taska dan taman didikan kanak-kanak (tadika) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000,” katanya.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan berjaya menyediakan 66 taska baharu di bangunan kerajaan dengan peruntukan RM10 juta (dalam Belanjawan 2019) berbanding sasaran awal 50 taska.

-BERNAMA