Categories
AGENDA JENAYAH

Ketua pegawai perbadanan didakwa miliki bahan keganasan

ALOR GAJAH, 29 OKT: Seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh, S. Chandru, 38 didakwa memiliki item-item tersebut di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A10 warna biru hitam di No 15, Lot 1802, Kampung Bukit Balai, di sini pada jam 10.20 pagi, 12 Oktober lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias, manakala Chandru diwakili tiga peguam yang diketuai oleh Ramkarpal Singh.

Terdahulu, Chandru didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu G. Saminathan, 34 dan P. Gunasekaran, 60, atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, pada November tahun lepas.

— BERNAMA