Categories
AGENDA JENAYAH

Pengawal keselamatan, penjaga stor didakwa miliki item LTTE

BUTTERWORTH, 29 OKT: Seorang pengawal keselamatan dan penjaga stor masing-masing hari ini didakwa di dua mahkamah sesyen di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan denganĀ  pengganas Kumpulan Barisan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tertuduh pengawal keselamatan, M.Pumugan, 29, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim, Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di pekarangan parkir hadapan Pejabat N.S.E Lorry Transport Sdn Bhd Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi, daerah Seberang Perai Tengah di sini pada pukul 3.16 petang , 12 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Pumugan didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam di sini pada pukul 4.15 petang, 12 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karem tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana ditahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam Dr N. Ahilan memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya atas alasan tiada rujukan SOSMA dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

“Selain itu, tertuduh menghidap penyakit sawan dan memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Penyakit sawan ini boleh menyerang tiba-tiba. Semasa dalam tahanan tertuduh pernah diserang sawan dan tidak diberikan rawatan walaupun telah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Maka saya menyeru mahkamah membenarkan anak guam saya diberikan jaminan,” katanya

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang penjaga stor, S. Thanagaraj, 26, turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan hanya menganggguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah SOSMA dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Thanagaraj didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd . No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak di sini pada pukul 10 pagi, 12 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu, yang turut diwakili peguam Ahilan, didakwa melakukan perbuatan sama di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah di sini pada pukul 11 pagi 12 Oktober lepas mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes bagi laporan forensik dan serahan dokumen.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Ketua pegawai perbadanan didakwa miliki bahan keganasan

ALOR GAJAH, 29 OKT: Seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh, S. Chandru, 38 didakwa memiliki item-item tersebut di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A10 warna biru hitam di No 15, Lot 1802, Kampung Bukit Balai, di sini pada jam 10.20 pagi, 12 Oktober lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias, manakala Chandru diwakili tiga peguam yang diketuai oleh Ramkarpal Singh.

Terdahulu, Chandru didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu G. Saminathan, 34 dan P. Gunasekaran, 60, atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, pada November tahun lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Penghantar surat dituduh miliki item LTTE

SEGAMAT, 29 OKT: Seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen Segamat, hari ini, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, awal bulan ini.

S.Teran, 38, yang bekerja di sebuah pejabat peguam, di sini, memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Tertuduh yang masih bujang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada Disember ini didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, di sini, kira-kira 6.30 petang, 10 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Jika sabit kesalahan, Teran boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Peguam A.Mathan memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada Teran dengan alasan tertuduh mengalami masalah tulang belakang.

Tertuduh, katanya, menjalani rawatan akibat sakit itu pada 25 Julai lepas dan kini memerlukan rawatan susulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Low Qin Hui dalam hujahnya pula menegaskan seksyen berkenaan menetapkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada tertuduh kerana melibatkan keselamatan negara dan kepentingan awam.

Low turut memohon tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor, memandangkan tertuduh mempunyai pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, Khamis ini.

Rasidah dalam penghakimannya berkata, permohonan tertuduh untuk diberikan jaminan tidak dipertimbangkan sehingga dia mengemukakan laporan perubatan lengkap bagi diteliti mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes bagi meneliti laporan perubatan tersebut dan laporan pakar forensik.

– BERNAMA