Categories
AGENDA NASIONAL

Tarek Obaid terima AS$85 juta komisen perjanjian 1MDB-PSI

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid menerima AS$85 juta sebagai komisen daripada syarikat itu, didakwa dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata syarikat, Good Star Ltd telah membayar AS$85 juta kepada Tarek, yang juga merupakan pengasas bersama PSI, sebagai komisen bagi perjanjian usaha sama antara PSI dan 1MDB.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa beliau ditunjukkan penyata bank JP Morgan oleh peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas pada hari ke-28 perbicaraan kes 1MDB bekas Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Berdasarkan penyata bank, Tarek dibayar AS$85 juta daripada AS$700 juta oleh Good Star untuk komisen, sebagai sebahagian daripada JV (usaha sama) antara 1MDB dan PSI.

Shahrol Azral: Ya. Usaha sama itu adalah perjanjian antara 1MDB-PetroSaudi.

Muhammad Shafee: Jadi, sebanyak AS$700 juta wang kita ke sana, AS$85 juta kepada Tarek sebagai komisen atau hanya dakwaan sebagai komisen, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Muhammad Shafee: Adakah ini komisen bona fide (sebenar) atau pencurian secara terang-terangan?

Shahrol Azral: Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukannya.

Muhammad Shafee: Anda adalah jurutera. Berapakah peratusannya?

Shahrol Azral: Lebih sedikit 10 peratus.

Muhammad Shafee: Cukup tinggi komisen bagi satu usaha sama dan saksi menjawab, “Ya”.

Shahrol Azral juga bersetuju dengan Muhammad Shafee dia tidak dimaklumkan oleh Tarek pada masa itu mengenai bayaran tersebut, yang mungkin ada konflik kepentingan bagi pihak Tarek.

Ditanya sama ada Tarek isytiharkan wang itu hasil daripada usaha sama tersebut, Shahrol Azral berkata, “Tidak”.

Terdahulu, Shahrol Azral bersetuju dengan Muhammad Shafee, Tarek telah membayar sebahagian daripada AS$85 juta yang diterima daripada Good Star kepada Pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan dokumen perbankan, Tarek telah memindahkan AS$33 juta ke akaun bank milik Patrick Mahoney pada 20 Oktober 2009.

Peguam itu berkata, ini kira-kira dua minggu selepas Tarek menerima AS$85 juta daripada Good Star, yang sebelum itu menerima AS$700 juta daripada 1MDB.

Muhammad Shafee: Jadi, Tarek menerima AS$85 juta, kemudian dia bayar Patrick Mahoney AS$33 juta, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui apa-apa tentang bayaran yang diterima Tarek dan Patrick Mahoney.

Shahrol Azral juga berkata mungkin Tarek membayar kira-kira £127,000 bagi perkhidmatan guaman kepada White & Case, firma guaman London yang mewakili syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi dan pembayaran itu mungkin dibuat oleh, sama ada PSI atau PetroSaudi Cayman.

Saksi itu berkata demikian selepas Muhammad Shafee membangkitkan bayaran perkhidmatan undang-undang kepada firma guaman itu.

Muhammad Shafee: Tetapi hakikatnya ia datang daripada Tarek, adakah ia tidak menunjukkan sesuatu? Shahrol Azral menjawab, “Tanpa maklumat lanjut, saya tidak dapat memastikan”.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA