Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM cipta rekod MBOR latihan kebakaran dengan peserta terbesar

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelajar Semester Tujuh Fakulti Kejureteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya memahat nama fakulti mereka dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas mencatatkan penyertaan serentak terbesar kanak-kanak dalam latihan kebakaran.

Lebih memberangsangkan, latihan yang diadakan petang tadi itu membabitkan 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berkata, program ini mampu mendidik masyarakat bagaimana untuk berhadapan dengan situasi cemas ketika kebakaran.

Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berucap pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program ini juga sebagai salah satu cara untuk fakulti ini mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi pendidikan untuk anak-anak kita berdisplin dan tenang ketika berhadapan situasi kebakaran.

“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita berjaya cipta rekod ini bersama 95 Taska secara serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taska dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin bersama peserta lain pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Kejayaan itu disahkan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood yang turut menyaksikan latihan kebakaran terbabit.

Mohamad Fahmi berkata, pihak beliau merancang untuk meneruskan program sama di sekolah agama khususnya di sekolah tahfiz.

Katanya, langkah ini diharap mampu mengelakkan tragedi kebakaran sekolah tahfiz sehingga meragut nyawa seperti pernah berlaku sebelum ini.