Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar perakaunan UiTM ungguli peperiksaan ACCA dalam negara dan dunia

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Seorang pelajar Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) tampil cemerlang apabila mendapat tempat pertama di Malaysia dan dunia bagi kertas Financial Management (FM) dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) sesi Jun 2021.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Facebook hari ini memaklumkan Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi turut meraih tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR) dalam peperiksaan yang sama .

“Beliau (Hannah Mumtazah) merupakan alumni Program Matrikulasi KPM Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) Kohot 1 Sesi 2018/2019, iaitu kolaborasi antara KPM, UiTM dan ACCA,” katanya.

Menurut kenyataan itu Hannah Mumtazah kini sedang mengikuti Pengajian Perakaunan Profesional di Jabatan Pengajian Perakaunan Profesional, Fakulti Perakaunan, UiTM Shah Alam.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKS, UiTM jalin kerjasama laksana program bermanfaat

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melaksana pelbagai program bermanfaat di daerah itu.

Yang dipertuanya Rahilah Rahmat berkata kerjasama julung kali merangkumi bidang akademik, kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan pelancongan.

“Kerjasama MDKS dan UiTM menjadikan Kuala Selangor sebagai sebuah bandar yang mampu mengekalkan kelestarian pembangunan sosial, ekonomi serta fizikal.

“Usaha murni ini medan terbaik memecahkan tembok dan merapatkan jurang antara dua pihak membantu melahirkan generasi serta masyarakat berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, Rahilah mewakili pihak berkuasa tempatan itu menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bersama rektor UiTM cawangan Selangor Prof Dato’ Dr Abu Bakar Majeed.

Beliau berkata permeteraian MoU antara kedua-dua pihak diharap mampu membentuk aspirasi pembangunan dan persekitaran kondusif kepada rakyat Kuala Selangor.

Katanya aspek tersebut membabitkan pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, penyelidikan, pembangunan desa, inovasi, warisan dan sejarah serta pelancongan selaras visi perbandaran lestari masyarakat sejahtera,” katanya.

Categories
SELANGOR

UiTM, IJN jalin kerjasama kajian penyakit jantung

SHAH ALAM, 9 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Jantung Negara (IJN) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama dalam penyelidikan pencegahan penyakit jantung yang merupakan antara pembunuh utama rakyat negara ini.

MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.

Menurut Mohd Azraai menerusi kerjasama antara UiTM dan IJN melalui Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM) itu, kedua-dua pihak akan melakukan kajian berkaitan serangan jantung, menerbitkan hasil kajian di samping bekerjasama dalam pembangunan sumber manusia dan latihan.

“Menerusi kerjasama ini beberapa pelajar UiTM yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah akan ditempatkan di IJN bagi tujuan latihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah I-PPerForM, Prof Datin Dr Hapizah Md Nawawi dan Perunding Kanan Kardiologi IJN, Datuk Seri Dr Azhari Rosman.

Sementara itu, Dr Aizai Azan berkata pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UiTM dalam melakukan kajian dan penyelidikan dalam pencegahan serangan jantung.

“Seperti sedia maklum, serangan jantung merupakan antara punca utama kematian di negara ini, difahamkan satu daripada empat kematian adalah berpunca daripada penyakit jantung dan setiap hari dianggar seramai 50 orang mengalami serangan jantung,” katanya.

Tambahnya angka berkenaan menunjukkan bahawa kajian yang memyeluruh masih perlu dilakukan bagi mengenal pasti langkah terbaik bagi mencegah penyakit jantung dan strategi IJN pada masa kini adalah melakukan kajian berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi.

“Dengan cara ini kedua-dua pihak akan saling melengkapi antara satu sama lain dan akan membawa kepada satu hasil kajian yang lebih bermakna,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerjasama UiTM-Kesatuan Ragbi peluang lahir pemain cemerlang

SHAH ALAM, 17 OGOS: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalin kerjasama strategik dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi pertukaran maklumat berkaitan pengurusan dan pengetahuan sains sukan.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata kolaborasi itu membuka peluang bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan projek yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini tepat pada masanya kerana ia turut menyediakan ruang latihan industri untuk pelajar dan staf Fakulti Sains Sukan Rekreasi (FSR) serta mewujudkan persefahaman mengenai hubungan keusahawanan antara FSR dan KRM.

“Selain itu, ia dapat mempromosikan maklumat dan aktiviti dijalankan kedua-dua pihak melalui laman sesawang masing-masing termasuk kerjasama dalam bidang lain yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azrai Kassim (kiri) bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Sharul Zaman Yahya (kanan) bergambar bersama selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di UiTM, Shah Alam pada 17 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berharap kerjasama tersebut membolehkan lebih ramai pemain ragbi ditempatkan di universiti berkenaan bagi melahirkan pemain yang cemerlang dalam bidang sukan dan pendidikan.

“Ini adalah siri hubungan cuba dijalin dengan pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya UiTM yang menjadi salah satu daripada pusat tumpuan sukan ragbi selain hampir keseluruhan pemain ragbi kebangsaan terdiri daripada pelajar UiTM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata hasrat pihaknya untuk melantik seorang jurulatih asing dari New Zealand bagi mengemudi pasukan 7-sebelah (7s) negara sedang dikaji semula susulan kesan pandemik Covid-19 yang memerlukan peruntukan besar.

“Buat masa ini latihan bagi pasukan lelaki dan wanita masih menggunakan khidmat jurulatih sedia ada.

“Bagaimanapun, daripada segi jurulatih luar negara masih lagi dibincangkan dan diperhalusi pengarah kejurulatihan KRM Lee Nyuk Fah yang sedang mengenal pasti calon lain selain calon sedia ada,” katanya.

Mengulas pembinaan stadium ragbi di Presint 14, Putrajaya, Shahrul berkata kerja di tapak dijangka bermula September ini menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) berjumlah RM17 juta.

Categories
EXCO PENDIDIKAN SELANGOR

UiTM sedia geran RM3.55 juta, perkasa penyelidikan

SHAH ALAM, 19 JUN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta untuk memperkasa dan melonjak prestasi penyelidikan berimpak tinggi khusus bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat susulan kesan pandemik Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata penyediaan geran itu bertujuan memberi galakan kepada warga universiti supaya lebih aktif melakukan penyelidikan berimpak tinggi bagi membantu negara menyelesaikan masalah kemasyarakatan.

“Geran ini juga bertujuan untuk mengenal pasti potensi penyelidik yang berkualiti dan berprofil tinggi serta penyelidik pelawat, terutama bagi mereka yang baru menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah dan pascakedoktoran.

“Penyediaan geran melalui Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen ini antara inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM 2025 dalam merancakkan budaya penyelidikan translasional yang dapat memberi manfaat kepada pihak industri, masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Azraai, insentif yang disediakan menerusi geran itu juga adalah berdasarkan situasi semasa supaya para akademik menggunakan ilmu serta kepakaran mereka untuk menangani isu kemasyarakatan dan negara, terutama berkaitan wabak Covid-19.

Menurutnya geran hasil sumbangan alumni serta kakitangan UiTM dan sektor korporat itu juga akan memberi tumpuan kepada bidang tujahan penyelidikan yang berkaitan kesihatan dan kesejahteraan, kreativiti sosial dan inovasi, teknologi siber serta tenaga dan alam sekitar di universiti berkenaan.

Mohd Azraai berkata dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini, para penyelidik dilihat perlu merebut peluang menerusi peruntukan itu yang akan dibuka permohonannya pada bulan depan untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dan bekas penyelia mereka di luar negara bagi mencapai visi geran berkenaan.

Tambahnya, UiTM juga menggalakkan para penyelidiknya yang berlatar belakang pendidikan dari luar negara supaya mengadakan kerjasama penyelidikan dengan bekas penyelia supaya ia dapat memberikan impak dan reputasi baik kepada kedua-dua institusi pendidikan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Biasiswa UiTM untuk pelajar cemerlang sambung pengajian

SHAH ALAM, 22 MEI: Berita baik kepada pelajar cemerlang institusi pengajian tinggi (IPT) kerana Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat julung kalinya menawarkan biasiswa berjumlah RM1 juta untuk golongan itu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada September akan datang.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, biasiswa yang disediakan melalui tabung endowmen universiti itu akan memberi manfaat kepada 52 pelajar cemerlang IPT untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata tabung berkenaan ditubuhkan atas nama Kumpulan Wang Endowmen UiTM pada 26 Februari lepas dan dananya adalah hasil sumbangan pihak korporat, alumni serta orang persendirian untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka.

“Biasiswa Endowmen UiTM ini terbuka kepada pelajar cemerlang dalam apa juga bidang dengan pencapaian sekurang-kurangnya Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.50 untuk pelajar tempatan dan HPNG 3.75 bagi pelajar antarabangsa.

“Sepanjang pembiayaan biasiswa itu, para pelajar diberi elaun bulanan, yuran pengajian dan perbelanjaan yang diperlukan. Permohonan biasiswa itu akan mula dibuka pada Ogos ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Mohd Azraai menjelaskan, pembiayaan biasiswa berkenaan diperuntukkan untuk 40 pelajar Sarjana Muda, dan masing-masing tiga pelajar peringkat Sarjana serta PhD.

Katanya, baki enam tempat lagi dikhususkan untuk pelajar cemerlang Sarjana dan PhD antarabangsa bagi membolehkan mereka menerajui bidang penyelidikan tertentu.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang Sarjana dan PhD antarabangsa adalah untuk memangkin agenda UiTM menerajui bidang-bidang penyelidikan yang khusus seperti teknologi industri, logistik, pengangkutan, inovasi dan kreativiti sosial.

“Biasiswa Endowmen UiTM bertujuan membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka melalui bantuan kewangan secara lestari seterusnya melonjakkan nama universiti ini dengan pemerkasaan kualiti golongan berkenaan dan pensyarah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama kata Mohd Azraai, pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang itu adalah pendekatan agresif institusi berkenaan sejajar dengan Pelan Perancangan Strategik UiTM 2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Atlet UiTM tempa nama di peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 26 OKT: Pencapaian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mengharumkan nama universiti dan negara di peringkat antarabangsa menerusi acara sukan wajar dibanggakan, demikian kata Dr Azizan Abdullah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM berkata, perkara itu memandangkan sukan di UiTM sudah diterima sebagai salah salah satu pendekatan untuk melonjakkan nama universiti ke persada antarabangsa.

Katanya, banyak kejayaan diraih institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan sebelum ini dalam pelbagai kategori sukan dipertandingkan.

“Antara atlet yang membanggakan ialah pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Perlis, Khairulnizam Mohd Afendy yang berjaya memungut pingat perak dalam acara lumba layar, sekali gus melayakkan beliau ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Seterusnya, pelajar FSR UiTM Sarawak, Mohd Zuhayr Redza Noor Azrul melakar kejayaan di Kejohanan Sukan Tenpin Bowling yang berlangsung di Hong Kong, China. Malah, kejayaan ini adalah kali kedua terbesar selepas berjaya di Kejohanan Tenpin Bowling Sarawak Borneo 2019,” katanya.

Kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi meraikan kejayaan selaku juara keseluruhan pada majlis perasmian penutup Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 di Stadium UiTM Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan penutupan Sukan Antara Fakulti (SAF) peringkat UiTM Shah Alam, di Stadium UiTM Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Mengimbau kejayaan manis lain, Dr Azizan berkata, UiTM turut mempertahankan gelaran juara di kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2019 apabila kontinjen universiti terbabit berjaya membawa pulang sebanyak 132 pingat secara keseluruhan.

“Pasukan Futsal UiTM juga berjaya mempertahankan gelaran juara sebanyak empat tahun berturut-turut di Liga Super Futsal IPT 2019,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap dengan semua kejayaan ditempa dapat meningkatkan lagi nama UiTM di peringkat kebangsaan dan memartabatkan kedudukan universiti berkenaan di peringkat dunia.

Categories
AGENSI SELANGOR

FSR juara keseluruhan SAF UiTM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL & ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 26 OKT: Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang melabuhkan tirai malam tadi menyaksikan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) muncul juara keseluruhan dengan meraih pungutan 458 mata.

Gelaran itu dirangkul selepas kontinjen terbabit mengungguli beberapa acara utama seperti bola sepak (lelaki dan wanita), bola sepak pantai wanita, bola baling wanita, bola tampar (lelaki dan wanita), bola keranjang wanita termasuk hoki (lelaki dan wanita) serta frisbee.

Kontinjen berkenaan menewaskan 14 fakulti lain yang turut mengambil bahagian dengan kutipan pingat 37 emas, 10 perak dan dua gangsa membabitkan 19 acara berpasukan dan sembilan acara individu.

Selaku juara, FSR membawa pulang piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM2,000 disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Dr Azizan Abdullah di Stadium UiTM, di sini.

Sementara itu, Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan 13 emas, tujuh perak dan lima gangsa (236 mata), manakala Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) di tempat ketiga dengan pencapaian empat emas, lima perak serta enam gangsa (206 mata).

Perarakan kontinjen Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi pada majlis perasmian penutup Sukan Antara Fakulti (SAF) 2019 di Stadium UiTM Shah Alam pada 25 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dr Azizan ketika berucap merasmikan majlis penutup SAF berkata, penganjuran sukan tahunan itu bertujuan menggalakkan penuntut UiTM untuk mengambil bahagian dalam setiap kegiatan sukan, selain membentuk budaya masyarakat kampus yang berkualiti, cergas dan sihat sepanjang masa.

Katanya, sukan menjadi salah satu medan penting dalam membentuk dan menggarap semua nilai positif memandangkan kecemerlangan mahasiswa bukan diukur daripada aspek akademik semata-mata.

“Salah satu matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan insan seimbang daripada segenap segi misalnya mempunyai fizikal yang sihat dan cergas serta sikap kerjasama positif dengan masyarakat sekeliling.

“Melalui SAF, mahasiswa UiTM dapat memupuk nilai dan sifat murni seperti semangat daya saing yang kuat, kebolehan patuh kepada undang-undang (permainan), rasa muhibbah, kesefahaman dan toleransi tinggi,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Pada masa sama, Dr Azizan berkata, beliau bangga dengan penyertaan kesemua fakulti menerusi aktiviti SAF pada edisi kali ini, selain menaruh harapan tinggi supaya institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk diserapkan ke peringkat seterusnya.

Katanya, bakat baharu mahasiswa mampu diketengahkan bagi mewakili UiTM ke kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan yang berjaya menjadi juara SAF kali ini, namun kepada pasukan yang kurang bernasib baik diharapkan supaya jangan berputus asa, sebaliknya terus tingkatkan usaha serta strategi untuk kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, SAF di bawah kelolaan Pusat Sukan UiTM dengan kerjasama FSKM berlangsung selama hampir sebulan bermula 4 Oktober lalu dengan pembabitan kira-kira 6,000 mahasiswa.

Categories
ADN PENDIDIKAN SELANGOR

UiTM disaran adakan latihan kebakaran di rumah ibadah

SHAH ALAM, 23 OKT: Kejayaan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan peserta paling ramai dalam latihan kebakaran, wajar dicontohi semua pihak.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, program sama turut boleh diperluaskan di rumah ibadah.

“Ada rumah ibadah yang tidak mempunyai kelengkapan pemadam kebakaran dan tahap keselamatan juga pada tahap rendah sehingga tabung pun mudah dicuri.

“Justeru, saya cadangkan supaya UiTM memperluaskan latihan kebakaran membabitkan masjid, surau, tokong, kuil dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin dan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood.

Najwan berkata, UiTM juga boleh mengambil kesempatan ini untuk mendekatkan masyarakat dengan Fakulti Kejuruteraan institusi pengajian tinggi terbabit.

Menyentuh kejayaan pelajar semester tujuh fakulti sama mencipta rekod itu, Najwan berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan tetapi mampu memberi manfaat kepada pengusaha Taska.

Katanya, program itu juga memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak tentang langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Kita yang sudah dewasa faham situasi kecemasan, apa yang perlu dibuat tetapi anak-anak di Taska belum faham bagaimana untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, seramai 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taska di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur menyertai latihan kebakaran yang diselia pelajar semester ketujuh fakulti terbabit.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM cipta rekod MBOR latihan kebakaran dengan peserta terbesar

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelajar Semester Tujuh Fakulti Kejureteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya memahat nama fakulti mereka dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas mencatatkan penyertaan serentak terbesar kanak-kanak dalam latihan kebakaran.

Lebih memberangsangkan, latihan yang diadakan petang tadi itu membabitkan 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berkata, program ini mampu mendidik masyarakat bagaimana untuk berhadapan dengan situasi cemas ketika kebakaran.

Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berucap pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program ini juga sebagai salah satu cara untuk fakulti ini mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi pendidikan untuk anak-anak kita berdisplin dan tenang ketika berhadapan situasi kebakaran.

“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita berjaya cipta rekod ini bersama 95 Taska secara serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taska dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin bersama peserta lain pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Kejayaan itu disahkan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood yang turut menyaksikan latihan kebakaran terbabit.

Mohamad Fahmi berkata, pihak beliau merancang untuk meneruskan program sama di sekolah agama khususnya di sekolah tahfiz.

Katanya, langkah ini diharap mampu mengelakkan tragedi kebakaran sekolah tahfiz sehingga meragut nyawa seperti pernah berlaku sebelum ini.

Categories
SELANGOR

3,000 sertai ‘UiTM Glow Fun Walk, Zumba’

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 28 SEPT: Lebih 3,000 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sertai program “UiTM Glow Fun Walk & Zumba” sempena sambutan hari sukan universiti sedunia (IDUS) semalam.

Program anjuran UiTM itu dirasmikan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah bertempat di pusat sukan.

“Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan budaya cergas, sihat dan bersatu melalui penyertaan terutamanya dari kalangan pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Antara pengisian program tersebut ialah acara bola keranjang, galah panjang, basikal lambat dan sepakraga bulatan.

“Peserta juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kakitangan UiTM dan pelajar serta mewujudkan masyarakat kampus aktif bersukan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Pelajar, Bahrin Othman dan Pengarah Pusat Sukan, Mustaza Ahmad.

Categories
PENDIDIKAN

UiTM intai peluang kolaborasi dengan institusi pendidikan Guizhou

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mengorak langkah untuk berkolaborasi dengan sembilan institusi pendidikan di wilayah Guizhou, China.

Ini susulan Surat Hasrat yang ditandatangani UiTM bersama institusi terbabit pada Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN ke-12 (CAECW) yang berlangsung di Guiyang, ibu negeri wilayah berkenaan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun, kepelbagaian bidang dan pengkhususan yang ditawarkan UiTM menarik minat institusi pendidikan itu untuk berkolaborasi dengannya.

“Ia juga bakal membuka peluang perkongsian ilmu lebih luas khususnya bagi UiTM di bidang tumpuan dan fokus kepakaran institusi pengajian di Guiyang sebagai hab Data Raya dan Kecerdasan Buatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surat Hasrat itu ditandatangani UiTM bersama Guizhou University, Guizhou Minzu University, Guizhou University of Finance and Economics, Guizhou Medical University, Zunyi Medical University, Guizhou Equipment Manufacturing Vocational College, Guizhou Preschool Education College, Guizhou Polytechnic of Construction dan Guizhou Light Industry Technical College.

UiTM menyasarkan surat hasrat yang ditandatangani itu akan membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum persetujuan (MoA) antara pihak terlibat.

UiTM merupakan antara sembilan universiti dari Malaysia yang mengambil bahagian pada CAECW. – BERNAMA