Categories
AGENDA NASIONAL

MB rai SMKA Kuala Selangor rangkul emas di Jerman

SHAH ALAM, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan pimpinan Kerajaan Negeri meraikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor di Dewan Annexe, semalam.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada guru dan pelajar terbabit atas kejayaan merangkul pingat emas di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Idea Penciptaan, Idea Produk Baru (IENA) 2019 di Jerman, baru-baru ini.

Dalam kesempatan itu, Amirudin turut diberi penerangan tentang produk inovasi mereka iaitu set permainan “Educational Chess Set World History Exploration Challenge” yang memaparkan sejarah ketamadunan dunia.

Ia direka khas untuk menarik minat semua golongan khususnya anak muda untuk menguasai pengetahuan am berkaitan sejarah ketamadunan dunia.

Kesemua rombongan sekolah berkenaan turut diberi penghormatan untuk makan tengahari bersama Dato’ Menteri Besar dan kepimpinan negeri ketika sesi rehat Persidangan Dewan Negeri Selangor.

IENA ke-71 adalah pameran inovasi tertua di dunia membabitkan perdagangan unik mempamer pelbagai ciptaan produk baharu dan penemuan inovasi terbesar dunia serta mengumpulkan pereka cipta seluruh dunia.

IENA juga turut menawarkan beberapa seminar dan kertas kerja yang memberi tumpuan kepada dunia korporat seperti kajian ke atas pembangunan perniagaan, paten harta intelek; hubungan perniagaan dengan media, prototaip produk dan pembuatan.