Categories
EXCO SELANGOR

Pembinaan rumah ibadat kena ikut peraturan

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membina rumah ibadat tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

EXCO Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, sebelum ini terdapat beberapa buah kuil yang dibina melanggar peraturan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kadang-kadang ada kuil dibina di tempat yang diwartakan tetapi mereka bina bangunan tambahan yang melanggar peraturan.

“Apabila perkara ini berlaku, Kerajaan Negeri terpaksa bertindak tetapi akhirnya kami pula dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) Fasa 6/2019 serta Penyerahan Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS Fasa 8 di Bilik Mesyuarat Kekwa, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Ganabatirau mencadangkan supaya pihak pengurusan kuil mengutip data penduduk setempat seperti dilakukan pengurusan masjid, surau dan gereja.

Katanya, data yang diperolehi itu kelak mampu membantu pihak pengurusan kuil mengenal pasti program yang sesuai untuk komuniti setempat.