Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Peluang PAKATAN dan BN terbuka

SHAH ALAM, 1 NOV: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai disifatkan sebagai ‘medan penentuan’ kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan pihak mana lebih mampu meraih sokongan pengundi atas pagar.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata ini kerana 17 peratus pengundi didapati masih belum membuat keputusan untuk memilih calon daripada mana-mana parti yang bertanding.

Beliau berkata pendapat itu dirumuskan daripada hasil Kajian Survei Lapangan IDE yang dijalankan ke atas 1,518 responden bermula 18 hingga 20 Oktober lalu.

Katanya melalui kajian berkenaan juga 83 peratus pengundi membuat keputusan untuk memilih parti sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Oleh itu, sejumlah 17 peratus pengundi yang belum membuat keputusan (untuk memilih parti mana) adalah golongan untuk didekati kedua-dua parti bertanding bagi menentukan kemenangan mereka pada PRK berkenaan,” katanya dalam sidang media PRK P165 Tanjung Piai: Satu Analisis di sini hari ini.

Mohammad Redzuan berkata walaupun wujud anggapan bahawa jalinan kerjasama antara UMNO dan PAS mampu membuka ‘laluan’ kepada mereka memenangi PRK berkenaan, namun ia disifatkan sebagai kurang tepat.

Ini kerana katanya kajian itu menunjukkan sokongan pengundi terhadap kedua-dua parti yang bertanding agak seimbang, maka PRK berkenaan dilihat lebih terbuka.

“Kajian juga mendapati, 33 peratus pengundi mengatakan terdapat antara seorang hingga dua orang ahli keluarga yang juga pengundi tidak tinggal di kawasan parlimen berkenaan.

“Oleh itu, mana-mana parti yang mampu mencari jalan bagaimana untuk membawa pengundi yang tinggal di luar kawasan ke peti undi pada 16 Nov ini akan meraih kemenangan,” katanya.

Sementara itu mengulas calon dari kedua-dua parti yang bertanding pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan menyifatkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan calon Melayu pastinya akan lebih diterima berbanding BN yang mencagarkan calon dari MCA.

“Ini kerana pengundi Melayu di Tanjung Piai membentuk 57 peratus daripada jumlah keseluruhan 57,986 pengundi. Sungguhpun begitu, saya melihat jentera Bersatu lebih bersedia berbanding ketika PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih pada Mac lalu,” katanya.

Justeru, jentera PAKATAN disaran supaya melihat aspek peratusan kaum dengan lebih teliti bagi memanfaatkan peluang untuk menarik lebih banyak pengundi Melayu memilih mereka kelak.

Mengulas tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang turut meletakkan calon pada PRK berkenaan, Mohammad Redzuan berpendapat ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap sokongan pengundi kepada PAKATAN dan BN sebaliknya menyifatkan, “PRK Tanjung Piai adalah antara PAKATAN dan BN sahaja”.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November ini, manakala tarikh penamaan calon PRK pada esok dan pengundian awal diadakan pada 12 November.

Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu mewakili PAKATAN dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

-BERNAMA