Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Sasaran 70 pingat emas realistik

BANGI, 21 NOV: Selepas mengambil kira pencapaian terkini atlet negara dan pihak lawan, sasaran 70 pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina yang diumumkan adalah realistik.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran itu ditetapkan selepas proses penelitian lengkap dengan mengambil kira penyertaan kali pertama 396 atlet yang akan beraksi di temasya itu.

“Betul, sasaran kali ini hanya tambah dua pingat emas berbanding temasya sama di Korat pada 2007 walaupun ada peningkatan dari segi penyertaan atlet. Namun, kita kena ambil kira ramai atlet yang pertama kali beraksi di temasya antarabangsa.

“Kita tidak ada rekod pencapaian lepas mereka. Saya mesti akui kalau kita lihat dari segi peluang mungkin akan dapat lebih pingat emas tetapi saya tidak berani kerana kebanyakan atlet dan sukan baharu dipertandingkan di Filipina. Kita pun tidak tahu prestasi pihak lawan macam mana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa diletakkan ke atas kontinjen negara yang diwakili oleh 773 atlet dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sasaran 70 pingat emas itu dijangka bakal meletakkan kontinjen Malaysia di kedudukan empat negara terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

Syed Saddiq juga berkata sukan olahraga, gimrama, memanah dan boling padang dijangka akan menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara.

Ditanya mengenai status olahraga diletakkan sebagai sasaran penyumbang utama pingat emas negara sedangkan prestasi kurang memberansangkan sukan itu pada musim ini, Megat Zulkarnain berkata olahraga merupakan antara penyumbang pingat kepada Malaysia.

“Kita tengok sendiri pencapaian mereka sebelum tetapkan sasaran dan jadikan mereka sandaran. Kali ini kita ambil pendekatan di mana kita memanggil pengurus pasukan dan jurulatih untuk bentang pencapaian atlet.

“Kita tanya dan minta ulasan setiap seorang atlet. Begitu juga, kami kaji pencapaian pihak lawan. Tidak semua apa yang dibentangkan kami setuju. Jadi keputusan untuk jadikan olahraga sebagai sandaran tidak dibuat tanpa kajian lengkap,” katanya.

Megat Zulkarnain bagaimanapun berkata walaupun pihaknya meletakkan sandaran ke atas beberapa jenis sukan, namun sukan lain seperti tenpin boling dan skuasy turut dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

– BERNAMA