Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Kontinjen Malaysia optimis capai sasaran 70 emas

FILIPINA, 8 DIS: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, optimis atlet negara mampu mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Beliau mendedahkan beberapa sukan seperti karate-do, memanah, olahraga dan badminton masih berpeluang menambah kutipan emas kontinjen negara dengan baki dua hari pertandingan sehingga Selasa ini (10 Disember).

Megat Zulkarnain, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), pada masa sama turut melaungkan keyakinan beberapa atlet negara akan mencipta kejutan dalam baki dua hari pertandingan.

“Saya tidak boleh berputus asa dan saya orang silat, jadi kita tunggu sampai penghujung (pertandingan Sukan SEA) dan kita mesti lawan dulu.

“Benda masih awal lagi, lagi tiga hari (pertandingan) ada dan saya percaya sukan yang kita boleh harapkan, atlet yang kita rasa boleh buat kejutan, selebihnya kita tengok macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad memanah negara di Clark Parade Grounds dekat sini, hari ini.

Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) dan Mentor Kontinjen Negara ke Sukan Sea 2019 Filipina, Datuk Nicol Ann David (kiri) ketika sidang media pada Majlis Penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di anjung tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 November 2019. Foto BERNAMA

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan menyasarkan kutipan 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019.

Sasaran berkenaan diputuskan hasil mesyuarat antara Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan pegawai persatuan sukan kebangsaan pada Perhimpunan Kem Fasa Akhir Atlet Malaysia di Bangi, 21 November lalu.

Atlet terjun negara (dari kanan), Ooi Tze Liang, Chew Yiwei, Wendy Ng Yan Yee dan Jasmine Lai Pui Yee menunjukkan pingat yang dimenangi mereka dalam acara terjun sempena Sukan SEA 2019 di Athletics Stadium, New Clark City pada 6 Disember 2019. Foto BERNAMA

Kontinjen negara diwakili 773 atlet terdiri daripada 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita pada Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov dan bakal berakhir pada 11 Dis ini di kluster iaitu Manila, Clark dan Subic.

Pencapaian terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur adalah pada edisi 2007 di Korat, Thailand menerusi kutipan 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia sasar 70 emas pada Sukan Sea 2019

BANGI, 21 NOV: Kontinjen Malaysia menyasarkan kutipan 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 acara yang akan disertai pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, penghujung bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sasaran 70 emas itu sekiranya berjaya dicapai, akan meletakkan Malaysia pada kedudukan empat terbaik daripada 11 negara ASEAN yang bertanding pada kali ini.

“Sekiranya sasaran ini berjaya dicapai, maka ia akan mengatasi pencapaian terbaik Kontinjen Malaysia di luar Kuala Lumpur, iaitu Sukan SEA 2007 Korat (di Thailand) dengan (kutipan) 68 emas,” katanya pada sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan bendera jalur gemilang pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bersama para atlet dan Pegawai Kontinjen Malaysia pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Sukan SEA 2019 ke Manila pada 21 November 2019.
– Foto BERNAMA

Turut hadir Timbalannya, Steven Sim Chee Keong, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, dua Timbalannya, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Syed Saddiq memaklumkan empat sukan iaitu olahraga, gimrama, memanah dan boling padang, selain beberapa sukan baharu seperti sukan elektronik (Esports) dan sukan berhalangan (obstacle sports) dijangka menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara pada Sukan SEA kali ini.

Syed Saddiq memaklumkan kontinjen negara akan diwakili seramai 773 orang atlet terdiri yang terdiri daripada 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita, selain 339 orang pegawai.

Daripada 773 atlet berkenaan, seramai 396 atlet merupakan muka baharu yang bertanding buat julung kalinya pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Seramai 322 orang atlet yang terpilih mewakili negara pada Sukan SEA kali ini adalah berumur 21 tahun. Jumlah ini tidak termasuk pemain bola sepak lelaki dan wanita yang akan dinamakan pada mesyuarat pengurus pasukan,” jelas Syed Saddiq.

Atlet luncur air lelaki negara, Adam Yoong Hanifah,11, merupakan atlet termuda negara, manakala pemain pool negara Ibrahim Amir, 57 dari sukan billiard dan snuker, merupakan atlet tertua yang mewakili negara pada Sukan SEA 2019.

Pasukan polo merupakan wakil pertama negara yang akan memulakan saingan pada Sukan SEA 2019 di Padang Polo Miguel L. Romero pada 24 Nov ini.

Pada majlis berkenaan, Syed Saddiq turut menyaksikan penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) MSN berjumlah RM1,678 285 kepada 16 jenis sukan yang berjaya mengharumkan nama negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun ini.

Sukan Wushu merupakan penerima tertinggi dengan jumlah wang tunai sebanyak RM444,000 hasil kejayaan meraih dua emas, lima perak dan satu gangsa pada edisi ke-15 Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai, China dari 20-24 Okt lalu, disusuli sukan tenpin bowling sebanyak RM360,000 manakala sukan para olahraga meraih sebanyak RM168,000.

Syed Saddiq turut menyerahkan bendera jalur gemilang kepada Megat Zulkarnain sebagai simbolik acara kemuncak pada majlis hari ini.

Untuk rekod, seramai 544 atlet serta 164 orang pegawai yang hadir pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 yang bermula sejak Selasa lepas dan berakhir hari ini.

Sukan SEA 2019 yang bermula pada 24 Nov ini akan berakhir pada 11 Dis, dengan melibatkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Sasaran 70 pingat emas realistik

BANGI, 21 NOV: Selepas mengambil kira pencapaian terkini atlet negara dan pihak lawan, sasaran 70 pingat emas di Sukan SEA 2019 di Filipina yang diumumkan adalah realistik.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran itu ditetapkan selepas proses penelitian lengkap dengan mengambil kira penyertaan kali pertama 396 atlet yang akan beraksi di temasya itu.

“Betul, sasaran kali ini hanya tambah dua pingat emas berbanding temasya sama di Korat pada 2007 walaupun ada peningkatan dari segi penyertaan atlet. Namun, kita kena ambil kira ramai atlet yang pertama kali beraksi di temasya antarabangsa.

“Kita tidak ada rekod pencapaian lepas mereka. Saya mesti akui kalau kita lihat dari segi peluang mungkin akan dapat lebih pingat emas tetapi saya tidak berani kerana kebanyakan atlet dan sukan baharu dipertandingkan di Filipina. Kita pun tidak tahu prestasi pihak lawan macam mana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa diletakkan ke atas kontinjen negara yang diwakili oleh 773 atlet dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sasaran 70 pingat emas itu dijangka bakal meletakkan kontinjen Malaysia di kedudukan empat negara terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

Syed Saddiq juga berkata sukan olahraga, gimrama, memanah dan boling padang dijangka akan menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara.

Ditanya mengenai status olahraga diletakkan sebagai sasaran penyumbang utama pingat emas negara sedangkan prestasi kurang memberansangkan sukan itu pada musim ini, Megat Zulkarnain berkata olahraga merupakan antara penyumbang pingat kepada Malaysia.

“Kita tengok sendiri pencapaian mereka sebelum tetapkan sasaran dan jadikan mereka sandaran. Kali ini kita ambil pendekatan di mana kita memanggil pengurus pasukan dan jurulatih untuk bentang pencapaian atlet.

“Kita tanya dan minta ulasan setiap seorang atlet. Begitu juga, kami kaji pencapaian pihak lawan. Tidak semua apa yang dibentangkan kami setuju. Jadi keputusan untuk jadikan olahraga sebagai sandaran tidak dibuat tanpa kajian lengkap,” katanya.

Megat Zulkarnain bagaimanapun berkata walaupun pihaknya meletakkan sandaran ke atas beberapa jenis sukan, namun sukan lain seperti tenpin boling dan skuasy turut dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Persiapan kontinjen Sukan Sea negara kini di peringkat akhir

SEREMBAN, 18 OGOS: Persiapan kontinjen Sukan SEA negara kini sudah sampai ke peringkat akhir, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan MOM telah mengenal pasti hampir 800 orang atlet untuk temasya Sukan SEA 2019 di Filipina November ini.

“Tarikh akhir senarai akhir atlet mengikut nama ialah pada 2 September depan untuk persatuan memuktamadkan atlet yang mana layak untuk didaftarkan dalam acara mereka masing-masing. Selepas itu pihak MOM akan menghantar pendaftaran kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA…itu adalah komposisi akhir kontinjen Sukan SEA Malaysia.

“Seterusnya di peringkat MSN dari segi persiapan kontinjen, kita akan adakan satu latihan pusat akhir untuk mengumpulkan kesemua 800 orang atlet kontinjen negara sebelum kita bertolak ke Filipina,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB siri ke-5 di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, dari segi persiapan semuanya berjalan lancar dan kini persiapan lebih banyak tertumpu kepada pertandingan-pertandingan sebelum temasya Sukan SEA berlangsung.

“Ini adalah persiapan terakhir, sebelum kita perbaiki balik ke arah Sukan SEA,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran pingat, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera nanti.

“Itu pun selepas kita kemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memuktamadkan dari segi status sesama prestasi atlet dan sasaran yang mungkin mereka boleh capai di Sukan SEA nanti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

ESM sasar dua emas di Filipina

PETALING JAYA, 29 JUL: Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menyasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Setiausaha Agungnya, Hisham Darus berkata, sasaran itu diletakkan pada permainan Dota 2 dan Hearthstone yang merupakan antara enam permainan disertai kontinjen sukan elektronik negara selain Tekken 7, Arena Of Valor (AOV), Mobile Legends (ML) dan Starcraft 2.

Filipina dan Singapura merupakan pencabar utama dalam permainan Hearthstone manakala saingan sengit dalam permainan Dota 2 dijangka datang daripada skuad tuan rumah, katanya kepada pemberita pada sesi taklimat bersama atlet menjelang Sukan SEA Filipna 2019, di sini, hari ini.

“Enam permainan dipertandingkan semuanya memberi kelebihan kepada Filipina. Dari segi dasar kita letak sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas tetapi ia bergantung selepas kita melengkapkan senarai akhir 21 atlet yang akan mewakili negara.

“Dalam Hearthstone pengacau utama adalah Filipina dan Singapura tetapi kita mempunyai pemain yang setanding dengan mereka. Dota 2 semua orang tahu Filipina mempunyai pasukan hebat yang bertanding di peringkat dunia sementara atlet Dota 2 kita beraksi untuk pasukan-pasukan berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Hisham berkata, ESM turut mengintai peluang ‘mencuri’ selain kilauan emas untuk dibawa pulang dengan sekurang-kurangnya menyasarkan tiga pingat perak dan satu gangsa.

Sementara itu, pengurus skuad sukan elektronik negara ke Sukan SEA, Firdaus Hashim berkata tempoh tiga bulan sebelum temasya berlangsung merupakan cukup untuk melakukan persiapan.

Beliau berkata jurulatih bagi keenam-enam permainan itu akan dilantik dalam minggu ini bertujuan menilai prestasi atlet sebelum memuktamadkan senarai akhir ke Filipina untuk diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 15 Ogos ini.

“Untuk e-sukan tempoh tiga bulan adalah satu tempoh yang lama untuk persiapan sebagai contoh atlet Dota 2 mungkin dapat menyertai 10 kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh itu,” katanya.

Sebagai rekod, sukan elektronik bakal dipertandingkan serta dikira sebagai pungutan pingat buat julung kali di Sukan SEA Filipina 2019 selepas sukan berasaskan permainan video itu sebelum ini hanya diuji pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. – BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jumlah atlet ke Sukan Sea 2019 diputus selepas mesyuarat pemilihan OCM

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Jumlah penyertaan atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini akan diputuskan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) yang akan berlangsung selama empat hari bermula Isnin depan (29 Julai).

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, bagaimanapun, memberi bayangan bahawa jumlah penyertaan atlet pada kali ini bakal mengatasi jumlah pada edisi 2019 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia menghantar 428 atlet dan 294 pegawai dan menyertai 39 acara.

Megat Zulkarnain menjelaskan jumlah penyertaan atlet negara bakal mengatasi jumlah di Korat memandangkan kontinjen Malaysia bakal menyertai 51 daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019, katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pengurus-pengurus pasukan Sukan SEA ke-30 yang pertama di Wisma OCM, hari ini.

Mengulas lanjut, ​​​​​​Megat Zulkarnain berkata, mesyuarat berkenaan turut akan menentukan atlet yang diletakkan dalam kategori A atau kategori B.

“Kita juga telah mengingatkan kepada kesemua pengurus pasukan supaya dapat melakukan ‘entry by name’ sebelum 15 Ogos, namun kita juga menerima rayuan daripada satu atau dua persatuan sukan kebangsaan yang masih lagi mungkin tidak dapat melakukan ‘entry by name’ pada tarikh berkenaan kerana mereka akan ada kejohanan selepas tarikh tersebut.

“Saya telah dimaklumkan bahawa (Setiausaha Agung OCM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan berkenaan jika ada keperluan, tetapi persatuan sukan kebangsaan dinasihatkan untuk meletakkan entry by name selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet selesai,”jelas Megat Zulkarnain.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (Philsgoc) telah memaklumkan kesemua negara bertanding untuk menghantar nama atlet ke temasya sukan berkenaan sebelum tarikh akhir pada 1 September ini.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain menjelaskan ​​​​ kesemua 13 pengurus persatuan sukan kebangsaan yang menghadiri mesyuarat berkenaan, sudah menyatakan persetujuan awal bahawa atlet di bawah selian masing-masing yang akan bertanding di kluster Subic akan menginap di perkampungan sukan di kluster Clark.

“Ini kerana perjalanan di antara perkampungan sukan ke Subic mengambil masa di antara 30-45 minit, jadi belum kita putuskan lagi.

“Kita akan duduk berbincang sekiranya masalah makanan halal itu tidak dapat diselesaikan di Subic, jalan keluarnya adalah atlet duduk di perkampungan sukan kerana makanan halal dan kafetaria dibuka 24 jam, jadi di situ (Clark) tiada masalah,” jelas Megat Zulkarnain.

Ditanya mengenai sasaran pingat pada Sukan SEA 2019, beliau berkata, perkara berkenaan akan diumumkan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet nanti.

Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember ini. – BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tugas berat pertahan pingat emas pada Sukan Sea 2019

SERI KEMBANGAN, 23 JUL: Atlet berstatus juara kini berdepan misi lebih mencabar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Filipina, November ini.

Timbalan Ketua Kontinjen negara ke temasya dwi tahunan itu, Nurul Huda Abdullah berkata, sebagai juara bertahan, sudah pastinya atlet ataupun dalam acara berpasukan menjadi tumpuan lawan di gelanggang pertandingan.

Katanya, pasukan ragbi tujuh sepasukan (7s) dan skuad bola jaring khususnya bakal berdepan cabaran lebih getir untuk mempertahankan pingat emas masing-masing kerana negara pesaing dalam sukan masing-masing pasti melakukan persiapan rapi untuk berdepan Malaysia.

“Bagi atlit yang pergi bertanding buat pertama kali, mereka tidak bimbang kerana tiada pengharapan daripada sesiapa melainkan diri sendiri dan jurulatih.

“Tetapi bila anda pergi sebagai juara bertahan, pasukan lain berusaha untuk menumpaskan mereka. Jadi mereka perlu bergerak satu langkah ke hadapan bagi membolehkan mereka pertahankan gelaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan skuad ragbi 7s dan bola jaring negara di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Untuk rekod, skuad ragbi 7s Skuad ragbi negara mencipta sejarah terbesar dalam penyertaan Sukan SEA apabila meraih emas buat kali pertama menerusi pasukan lelaki tujuh sepasukan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam aksi final KL2017, skuad ragbi 7s negara menewaskan musuh tradisi, Singapura 22-7.

Sebelum ini, belum pernah skuad lelaki negara memenangi pingat emas terutama dalam acara tujuh sepasukan sekali gus mengakhiri kemarau bertahun-tahun lamanya.

Pasukan bola jaring negara turut mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kemarau meraih pingat emas selepas 16 tahun dalam temasya Sukan SEA selepas menang besar ke atas Singapura 65-41.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, atlet ke Sukan SEA kali ini perlu mempunyai persediaan yang rapi dari segi mental ekoran pelbagai masalah yang mungkin timbul sepanjang penganjuran Sukan SEA di Filipina.

“Persediaan perlu dilalui dari segi mental kerana pastinya pelbagai perkara seperti budaya yang berbeza, makanan, menu yang berbeza dari biasa dan kesediaan untuk travel.

“Kali ini ada tiga kluster ditambah dengan kluster kecil. Urusetia terdiri daripada ISN, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) akan berada di tiga kluster utama bersama kumpulan sokongan sains sukan dan perubatan.

“Walaupun pelbagai perkara dibangkitkan, saya yakin Filipina sangat komited untuk memastikan Sukan SEA berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata mesyuarat jawatankuasa pemilihan akan diadakan akhir bulan ini bagi memperincikan senarai terakhir sebelum dihantar kepada jawatankuasa penganjur. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Penembak elit harap lebih banyak kejohanan sebelum Sukan SEA 2019

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Penembak elit kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan berharap lebih banyak kejohanan sirkit tempatan bakal diadakan, selepas Lapang Sasar Menembak Kebangsan di Subang yang ditutup sembilan bulan, kembali dibuka baru-baru ini.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tulang’ dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui kekurangan kejohanan sirkit tempatan, menyebabkan skuad negara tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak di Bukit Jalil yang lebih kecil.

Untuk rekod, lapang sasar di Subang mendapat lampu hijau daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kembali beroperasi, baru-baru ini, selepas ditutup sembilan bulan lepas ekoran kes jenayah.

“Harapan saya, persediaan kita lebih rapi, seperti pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila kita berpeluang menjalani latihan di luar negara bagi meningkatkan lagi prestasi kita.

“Bagi saya, amat penting lebih banyak kejohanan sirkit tempatan diadakan, memandangkan Sukan SEA 2019 tinggal beberapa bulan sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di Bangunan Majlis Sukan Negara, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ezuan mengakui kekurangan kejohanan sirkit tempatan ketika ini menjejaskan perancangan barisan kejurulatihan negara, untuk menghantar atlet kebangsaan menyertai latihan dan kejohanan di luar negara.

“Kita perlu menyertai kejohanan antarabangsa yang bertindak sebagai medan pemanas badan sebelum menyertai kejohanan seperti Sukan SEA, dan bila kita pergi ke sana (Sukan SEA), kita rasa agak selesa dan tiada masalah untuk memberikan persembahan terbaik,” jelas Ezuan yang menyumbang satu emas untuk kontinjen negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ditanya mengenai persiapan raya, Muhammad Ezuan berkata beliau diberi cuti rehat seminggu untuk sambutan Hari Raya di Kampung Baru, di sini, dan kembali menjalani latihan seperti biasa sebelum menghadapi Kejohanan Menembak Terbuka Selangor yang bakal berlangsung di Lapang Sasar Subang dari 25 hingga 30 Jun ini

– BERNAMA

-Foto Kredit: Facebook Muhammad Ezuan