Categories
PERSONALITI PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Selangor utamakan golongan kurang mampu

Berikut adalah ucapan penuh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di perkarangan Pusat Pemborong GM Klang pada 14 Disember 2019.

Assalamualaikum and good evening to all of you!

Saya rasa bersyukur dan bertuah dapat berada bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini. Saya pasti di musim cuti sekolah ini, ramai yang berpeluang untuk bertemu jiran-jiran, rakan taulan dan sanak saudara untuk beramah mesra, meluangkan masa berkualiti malah membeli-belah bersama seperti di GM Klang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Ribuan tahun dahulu, seorang insan istimewa telah lahir di Nazareth dan membawa mesej keamanan, persaudaraan dan cinta. Kehidupan baginda mencetuskan perubahan yang tidak sedikit malahan ia menyentuh banyak sendi kehidupan kita: seni rupa, seni muzik, malahan budaya secara amnya.

Pesan-pesan Jesus Christ atau Isa A.S untuk sentiasa menjaga yang sakit, memberi makan pada yang lapar, dan mengalu-alukan tetamu tanpa mengira latar belakang memberi kesan yang besar kepada perjalanan sejarah dan kemanusiaan seluruhnya. Seperti yang dinukil dalam Injil Matthew 7:12 dan juga Luke 6:31, pesan untuk “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” ini menjadi tema besar apa yang dipanggil sebagai Golden Rule dalam perkembangan moral dan etika.

Untuk umat di Malaysia yang rata-ratanya Muslim, tidaklah janggal nasihat sebegitu. Ia seiring dengan nasihat Junjungan Besar Muhammad S.A.W yang bersabda:

ال يؤمن أحدكم حتى يحب ِلخيه ما يحب لنفسه

(La Yukminu Ahadukum Hatta Yuhibbu Li Aakhihi Ma Yuhibbu Li Nafsih) yang bermaksud “Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencinta dirinya sendiri” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lain-lain pesanan kemanusiaan seperti dialog Cain dan Abel (atau Habil dan Qabil dalam tradisi Islam) tentang “I am my brother’s keeper” dan juga “love thy neighbour” turut mendapat gemanya dalam tradisi Muslim bahawa “barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia menghormati jirannya”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya percaya itulah antara mesej serta pesan yang cuba dibawa pada musim perayaan Krismas ini. Masing-masing bercuti dan meluangkan masa untuk merapatkan hubungan sesama adik-beradik, sanak famili juga jiran tetangga dalam rasa persaudaraan, kasih sayang dan keharmonian. Kerukunan inilah yang menjadi resipi kejayaan Malaysia selama lebih 62 tahun. Kedamaian yang kita capai ini haruslah dipertahankan, seperti titah baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

Tidak dinafikan, kesenjangan ekonomi yang berjaya dirapatkan sangat membantu dalam pembinaan bangsa. Untuk itu, penting untuk digerakkan langkah-langkah yang perlu di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Untuk tahun 2020 yang akan kita alami beberapa hari lagi, kita di Selangor terus mengorak langkah dengan menginstitusikan beberapa polisi pro ekonomi seperti Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal mempermudah urusan merancang dan membangunkan tanah. Pentadbiran ini berani mengambil langkah proaktif dengan pengenalan program Inisiatif Roda Darul Ehsan atau RiDE bagi menyemarakkan lagi “gig economy” buat anak muda yang mahu menceburi bidang ini.

Untuk yang baru mahupun yang sudah berniaga, banyak peluang serta wahana disediakan bagi mereka mempertingkatkan kemahiran melalui program-program TVET seperti IKTISASS di Kolej INPENS serta memperkembang perniagaan mereka melalui kemudahan modal mikrokredit daripada Yayasan HIJRAH. Ini semua bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi yang terbaik buat rakyatnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selain daripada kestabilan ekonomi dan ‘ease of doing business’, Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan. Seperti yang telah dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2020, pentadbiran ini bakal mengupayakan pengawasan yang lebih baik dengan pemasangan 5,000 unit CCTV di seluruh Selangor. Barisan penguatkuasa kita di PBT turut dipertingkatkan kualitinya menjadi Polis Bantuan seramai 180 anggota buat permulaan. Tidak dinafikan rasa aman damai dan sejahtera menjadi impian seluruh rakyat Selangor.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti apa yang selalu disebut sebagai “miracle of Christmas” atau keajaiban Hari Natal, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa kepada mereka yang kurang upaya dan juga kepedulian kepada alam sekitar. Banyak lagi polisi lain seperti penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor, program Anak Istimewa Selangor atau AnIS dan juga program-program mesra warga emas berjumlah RM20 juta. Selain itu, turut dianjurkan kesukarelawan hijau atau ‘green volunteerism’ juga “Friends of River”—keseluruhannya dalam rangka meraikan semua pihak agar tiada golongan yang tertinggal selari dengan tema Selangor Maju Bersama. Ini sudah pasti akan menjadikan negeri ini unggul dan kehidupan rakyatnya bermartabat.

Akhir kata, saya mahu mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada penganjur pihak GM Klang dan juga Persatuan Belia Kristian Malaysia (MCYA) yang bersungguh-sungguh menjadikan program malamini suatu realiti.

Buat para penganut agama Kristian: Merry Christmas! Semoga diberkati semua hendaknya.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.