Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor sempurnakan Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat

SHAH ALAM, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-74, pada 11 Disember (esok).

Baginda menyempurnakan istiadat berkenaan di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Bacaan doa sempena selesai Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Istiadat itu turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Exco Kerajaan Negeri, anggota kerabat Diraja Selangor dan dif kehormat.

Air Doa Selamat itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor oleh adinda baginda, Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah.

Baginda turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor kepada Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Pelantikan itu berkuat kuasa bagi tempoh 1 Disember 2019 hingga 30 November 2022.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor kepada Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Dewan Diraja Selangor berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI