Categories
GLOBAL

Hujan, ribut petir belum akhiri kebakaran hutan Australia

SYDNEY, 18 JAN: Hujan dan ribut petir memadamkan kebakaran hutan di sebahagian timur Australia, namun turut membawa ancaman banjir di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, kebakaran hutan masih berterusan di kawasan selatan dan tenggara Australia yang belum mendapat hujan, setakat ini, termasuk di hutan kaya dengan hidupan liar di Pulau Kangaroo, lapor AFP.

Menurut pasukan bomba di New South Wales (NSW) yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi dan paling teruk dilanda krisis itu, 75 kebakaran terus berlaku, menurun berbanding lebih 100 beberapa hari sebelum ini.

“Hujan masih melanda beberapa kawasan dijilat api,” kata pihak bomba.

Queensland turut dilanda ribut petir semalaman menyebabkan banjir kilat dan jalan terpaksa ditutup, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Kedua-dua negeri itu mengalami antara kemarau paling panjang dalam sejarah Australia moden, dan keadaan cuaca selama dua hari itu menyaksikan beberapa kawasan menerima jumlah hujan lebih banyak berbanding taburan diterima dalam tempoh lebih sedekad lalu.

Api terus marak di selatan NSW dan negeri jiran, Victoria, tetapi kawasan terbabit diramalkan hujan, sekali gus meningkatkan harapan agar sebahagian kebakaran berkenaan dapat dikawal.