Categories
BERITA UTAMA

MB: Kembalikan kegemilangan Yayasan Selangor

PETALING JAYA, 15 JAN: Kerajaan Negeri mahu Yayasan Selangor kembali kepada tujuan asal penubuhannya iaitu menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi tujuan itu semua program berkaitan pendidikan akan diserahkan kepada yayasan dalam tempoh tiga tahun.

“Contohnya Program Tuisyen Rakyat, ia sepatutnya diuruskan oleh yayasan. Begitu juga program lain antaranya Program Selangor BITARA khusus buat rakyat melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD)

“Ini adalah sebahagian antara perancangan Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan yayasan. Namun harus diingat, usaha ini tidak boleh dilakukan sehari dua,” katanya.

Beliau berucap pada Program Santai Bersama Warga Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sejak 50 tahun lalu, Yayasan Selangor berjaya melahirkan lebih 5,000 modal insan yang berjaya dalam pelbagai bidang.

“Malah, Yayasan Selangor dianggap adalah yayasan terbaik berbanding yayasan negeri lain. Ramai yang akui kehebatan Yayasan Selangor,” katanya.