Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lancar van, bantu operasi Skuad Pantas

PETALING JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sebuah van bagi kegunaan operasi kecemasan dan bencana Pasukan Tindakan Segera (Pantas).

Van pelbagai guna boleh memuatkan lima orang pada satu masa itu diubah suai ruang dalamannya menjadi pejabat supaya petugas boleh bermesyuarat dari mana-mana lokasi tapak bencana.

“Van ini turut dilengkapi almari penyimpanan pakaian seragam, ruang simpanan dokumen, sistem kamera litar tertutup dan peralatan kelengkapan asas bencana,” kata Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Seramai 19 orang anggota Pantas berdaftar di MBPJ dan skuad ini mempunyai sebuah lagi van pelbagai guna, sebuah kenderaan pancuan empat roda, empat buah motorsikal berkapasiti 250 dan 150 cc.

Antara kes kecemasan dan bencana yang dikendalikan skuad itu ialah banjir kilat, tanah runtuh, ribut, pokok tumbang, kemalangan dan kebakaran.