Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lancar van, bantu operasi Skuad Pantas

PETALING JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sebuah van bagi kegunaan operasi kecemasan dan bencana Pasukan Tindakan Segera (Pantas).

Van pelbagai guna boleh memuatkan lima orang pada satu masa itu diubah suai ruang dalamannya menjadi pejabat supaya petugas boleh bermesyuarat dari mana-mana lokasi tapak bencana.

“Van ini turut dilengkapi almari penyimpanan pakaian seragam, ruang simpanan dokumen, sistem kamera litar tertutup dan peralatan kelengkapan asas bencana,” kata Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Seramai 19 orang anggota Pantas berdaftar di MBPJ dan skuad ini mempunyai sebuah lagi van pelbagai guna, sebuah kenderaan pancuan empat roda, empat buah motorsikal berkapasiti 250 dan 150 cc.

Antara kes kecemasan dan bencana yang dikendalikan skuad itu ialah banjir kilat, tanah runtuh, ribut, pokok tumbang, kemalangan dan kebakaran.

Categories
SELANGOR

Van Mobile Selangor BEST semarak budaya ilmu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak empat unit Van Mobile Selangor BEST (Bringing Excellence Into Society) bakal menjelajah ke pangsapuri kos rendah seluruh Selangor dengan peruntukan RM1 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak 1,346 skim pemajuan pangsapuri kos rendah melibatkan 220,086 unit dengan 1.1 juta penduduk bakal memperoleh manfaat daripada program perpustakaan bergerak itu.

Katanya, van berkenaan akan turun ke pangsapuri yang mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Cetusan idea ini selaras gagasan Selangor menuju ‘Smart State’ untuk sentiasa lebih responsif kepada tuntutan moden bagi kemudahan rakyat khususnya komuniti pangsapuri kos rendah.

“Diharap ia dapat mewujudkan komuniti pangsapuri berilmu dan bertanggungjawab ke arah pembudayaan ‘bersih, ceria dan harmoni, seterusnya membentuk model pangsapuri bistari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Van Mobile Selangor BEST di perkarangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mohamed Azmin berkata, Van Mobile Selangor BEST merupakan sinergi berkonsepkan Strategi Laut Biru di antara agensi kerajaan.

“Sekiranya kita mendapat impak positif, Kerajaan Negeri bersedia menimbangkan tambahan perkhidmatan itu untuk kemudahan rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak Komuniti Pangsapuri itu dilengkapi kemudahan WIFI percuma, komputer riba (laptop) dan multimedia, televisyen, koleksi bahan bacaan dan rujukan terkini, pinjaman dan pemulangan percuma.

Kemudahan lain termasuk penyaman udara, ‘air bed’, meja dan kerusi serta ‘motorized awning’ untuk keselesaan pengunjung.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 turut memperuntukkan RM750,000 bagi tiga van khusus untuk perkhidmatan perpustakaan bergerak SMART Selangor ke seluruh daerah.

EZY