Categories
AGENDA NASIONAL

Polis rekod 1,996 kes penyeludupan pada 2019

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Sebanyak 1,996 pelbagai kes penyeludupan membabitkan rampasan berjumlah RM290.4 juta direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) sepanjang tahun lalu.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata antara kes direkodkan penyeludupan hasil hutan, haiwan liar, minuman keras, rokok, dadah dan migran.

“Bagi kes penyeludupan manusia, kami menahan seramai 2,800 individu pelbagai warganegara dan merampas beberapa buah bot dianggarkan bernilai RM4.9 juta.

“Bagi Operasi Bersepadu Khazanah yang membanteras penyeludupan hasil hutan dan haiwan liar pula, seramai 115 individu ditahan membabitkan nilai rampasan RM23.2 juta sejak dilancarkan pada September tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini semalam.

Operasi Bersepadu Khazanah merupakan program gandingan PDRM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan habitat semula jadi hidupan liar, selain membanteras aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Acryl Sani berkata pihaknya juga memberi tumpuan untuk melipatgandakan usaha termasuk meletakkan sasaran rampasan RM500 juta bagi kes pelbagai penyeludupan.

“Fokus kami tahun ini ialah meningkat dan memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan berlakunya kes penyeludupan pasir, barangan (bahan mentah), serta migran.

“Selain itu, kami akan melakukan operasi secara konsisten dalam usaha memastikan ketenteraman awam terjamin dan sempadan negara terkawal daripada sebarang aktiviti pencerobohan,” katanya.

-BERNAMA