Categories
AGENDA NASIONAL

Gali parit umpama idea perang khandaq kekang penyeludupan – ATM

KUALA NERANG, 26 JULAI: Diinspirasikan oleh peperangan khandaq, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggali parit di laluan tikus sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung di sini bagi mengekang penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Panglima Briged Keenam Infantri Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata tindakan menggali parit yang kedalaman serta lebarnya 2.4 meter (lapan kaki) itu dibuat memandangkan sebelum ini penyeludup boleh terus ke pagar sempadan menggunakan motosikal atau kenderaan empat roda.

“Dengan adanya parit ini, kenderaan tidak boleh terus ke kawasan pagar sempadan namun mereka (sindiket penyeludupan) ini licik dan sanggup berjalan kaki umpama tentera semut untuk menyeludup barangan seperti daun ketum ke negara jiran.

“Oleh itu, pihak tentera masih meletakkan anggota untuk berkawal di 20 laluan tikus yang telah dikenal pasti di sempadan negara di Durian Burung ini,” katanya ketika ditemui semasa liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.

Tinjauan di kawasan batu sempadan 34 di Durian Burung juga mendapati pagar kawat duri yang dibina telah dirosakkan oleh sindiket penyeludupan dan kerajaan Thailand juga memasang pagar bagi membantu mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya kini memburu individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan yang dipercayai turut didalangi warga tempatan.

“Ada penduduk tempatan yang bersekongkol dan mengintip pergerakan anggota yang melakukan rondaan. Pihak tentera sedang kesan siapa dalang serta pemberi maklumat kepada sindiket penyeludupan barang dan pendatang tanpa izin.

“Hukuman setimpalnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Halim berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi keselamatan lain di bawah NTF bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan serta pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Rondaan dan operasi akan terus dipertingkat malah perkongsian maklumat risikan antara agensi keselamatan berjaya mengagalkan cubaan menyeludup.

“Kerjasama ini akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi,” katanya menambah pihak tentera mempunyai teknologi canggih seperti alat pandang malam untuk menggagalkan cubaan menyeludup pada waktu malam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis rekod 1,996 kes penyeludupan pada 2019

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Sebanyak 1,996 pelbagai kes penyeludupan membabitkan rampasan berjumlah RM290.4 juta direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) sepanjang tahun lalu.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata antara kes direkodkan penyeludupan hasil hutan, haiwan liar, minuman keras, rokok, dadah dan migran.

“Bagi kes penyeludupan manusia, kami menahan seramai 2,800 individu pelbagai warganegara dan merampas beberapa buah bot dianggarkan bernilai RM4.9 juta.

“Bagi Operasi Bersepadu Khazanah yang membanteras penyeludupan hasil hutan dan haiwan liar pula, seramai 115 individu ditahan membabitkan nilai rampasan RM23.2 juta sejak dilancarkan pada September tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini semalam.

Operasi Bersepadu Khazanah merupakan program gandingan PDRM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan habitat semula jadi hidupan liar, selain membanteras aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Acryl Sani berkata pihaknya juga memberi tumpuan untuk melipatgandakan usaha termasuk meletakkan sasaran rampasan RM500 juta bagi kes pelbagai penyeludupan.

“Fokus kami tahun ini ialah meningkat dan memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan berlakunya kes penyeludupan pasir, barangan (bahan mentah), serta migran.

“Selain itu, kami akan melakukan operasi secara konsisten dalam usaha memastikan ketenteraman awam terjamin dan sempadan negara terkawal daripada sebarang aktiviti pencerobohan,” katanya.

-BERNAMA