Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan India beri impak kecil sawit Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Jumlah kuantiti eksport minyak sawit bertapis Malaysia ke India adalah kecil iaitu dianggarkan sekitar US$300 juta setahun.

Sebarang tindakan seperti sekatan dikenakan pengimport minyak sawit India bagi pembelian komoditi Malaysia itu sebaliknya hanya memberi impak minimum kepada negara ini, demikian menurut Standard Chartered.

“Pada akhirnya, India perlu membelinya daripada sumber lain dan sekiranya sekatan itu dikuatkuasakan dan mereka perlu membeli pada harga lebih tinggi,” kata Ketua Pakar Ekonomi dan Penyelidikan ASEAN/Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee kepada pemberita pada taklimat penyelidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata secara amnya perkembangan itu hanya memberi sokongan kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

“Ia turut memberi sokongan kepada eksport Malaysia dan juga akaun semasanya,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan Kementerian Perdagangan dan Industri India mengeluarkan kenyataan import minyak sawit bertapis dipinda daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad.’

Namun, Menteri Industri Utama Teresa Kok pada Isnin menafikan laporan mengenai sekatan ke atas minyak sawit Malaysia.

“Mana ada boikot? Mereka cuma minta kita (Malaysia) lebihkan eksport MSM ke sana dan kurangkan eksport minyak bertapis,” kata Kok pada satu sesi taklimat bersama penanam sawit Selangor.

-BERNAMA