Categories
AGENDA NASIONAL

Kes barah lewat dikesan membimbangkan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Kes barah yang lewat dikesan iaitu pada tahap tiga dan empat dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, mengikut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia, kes barah yang lewat dikesan meningkat daripada 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011, kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Barah merupakan penyakit kronik yang kerap berlaku dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina.

“Mengenali gejala dan tanda-tanda awal barah, merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu barah tidak dikesan lewat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan ‘I Am and I Will’ pada 4 Februari setiap tahun, Dr Noor Hisham berkata barah boleh dikesan awal, dengan melakukan ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan barah payudara, kolorektal dan serviks di klinik-klinik kesihatan dan saringan barah mulut di klinik-klinik pergigian di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sejak dua dekad lepas, barah merupakan lima penyebab kematian utama, yang berlaku di hospital kerajaan dan penyebab utama kematian di fasiliti swasta negara ini.

“Mengikut Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, barah yang paling kerap berlaku ialah barah payudara iaitu 19 peratus, diikuti barah kolorektal 13.5 peratus dan barah paru-paru 9.8 peratus.

“Dalam kalangan lelaki, barah kolorektal merupakan barah yang paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus manakala bagi wanita adalah barah payudara sebanyak 34.1 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membantu mencegah dan mengurangkan kesan barah kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Amalkan gaya hidup sihat, jalani ujian saringan, kenali tanda serta gejala awal barah. Sekiranya dikesan menghidap barah, jangan tangguhkan rawatan. Ambil rawatan yang terbukti selamat seperti yang disaran pakar perubatan,” katanya.

– BERNAMA