Categories
PENDAPAT RENCANA

Pakej rangsangan RM20 bilion mampu tingkatkan semula ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Tahniah kepada kerajaan, terutama Kementerian Kewangan atas penyediaan pakej rangsangan ekonomi 2020, penawar yang amat diperlukan untuk meningkatkan ekonomi yang terjejas terutama bagi sektor pelancongan dan perniagaan kecil akibat penularan Covid-19.

Pakej RM20 bilion yang diumumkan Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka memupuk keyakinan kerana inisiatif dalam bentuk bantuan, dana langsung kepada rakyat, serta mempercepatkan pelaburan yang dirancang bernilai RM21 bilion, akan membawa kesan limpahan.

Malaysia dapat mengawal dengan baik penularan Covid-19 yang berpunca dari Wuhan, China, dengan hanya 22 kes setakat ini dan sifar kematian, yang mana majoriti pesakit adalah warganegara China. Kecuali dua orang, yang lain semuanya sembuh.

Di seluruh dunia jumlah kes yang disahkan setakat ini berjumlah 82,446 orang, dengan seramai 78,497 adalah di China yang mana sesetengah bandar dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk dan telah menjejaskan dengan teruk pertumbuhan negara. Angka kematian di seluruh dunia setakat ini berjumlah 2,808 orang.

Walaupun Malaysia pantas membendung penularan Covid-19 tetapi seperti negara-negara lain di dunia, ia tidak dapat mengelak impaknya ke atas ekonomi berikutan rantaian bekalan yang berhubungan dan pergantungan kepada kedatangan pelancong dari China.

Kesan Covid-19 meluas kerana ekonomi global telahpun bergelut dengan impak daripada perang perdagangan berlarutan antara Amerika Syarikat-China yang menyebabkan gangguan kepada rantaian nilai global, ekonomi dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.

Justeru, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bahawa pertumbuhan suku pertama negara pada tahun ini dijangka menerima kesan daripadanya.

China telah menyuntik sebanyak US$174 bilion (US$1=RM4.21) mudah tunai ke dalam pasaran sejak penularan wabak itu.

Selain Malaysia, negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina juga telah mengambil langkah untuk menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi masing-masing.

Reaksi dasar yang pantas oleh negara-negara ini adalah dalam bentuk pengurangan kadar faedah, kelonggaran bayaran pinjaman untuk perniagaan yang terjejas akibat penularan virus itu selain memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) menerima buku Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir di Perdana Putra Putrajaya pada 27 Februari 2020. Foto BERNAMA

Pada bulan lepas misalnya, BNM memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh sembilan tahun.

Sebelum ini, pada Mei lepas, OPR dikurangkan kepada tiga peratus daripada 3.25 peratus.

Gabenor BNM juga menyatakan bahawa masih ada ruang untuk pelarasan kadar tersebut bagi menangani cabaran ekonomi.

Jika dilihat, ekonomi Malaysia berkembang pada 3.6 peratus dalam suku keempat 2019 – terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan bekalan sektor komoditi yang terjejas dalam suku tersebut.

Pertumbuhan lebih perlahan itu turut mengheret turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.3 peratus iaitu angka terendah daripada unjuran BNM dalam lingkungan 4.3 peratus hingga 4.8 peratus bagi tahun lepas.

Sehubungan itu, pakej rangsangan itu disifatkan sebagai langkah paling tepat.

Malah, di Malaysia misalnya, kerajaan telah mengambil kira kesemua aspek serta kepentingan pelbagai peringkat masyarakat untuk mempunyai lebih banyak tunai dalam tangan iaitu manfaat untuk golongan seperti penarik beca sehingga kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

Langkah itu seperti penangguhan sementara bayaran ansuran cukai bulanan untuk perniagaan dalam sektor pelancongan selama enam bulan sehingga September 2020.

Selain itu, pemberian diskaun sementara sebanyak 15 peratus ke atas bil elektrik selama enam bulan untuk hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat beli-belah, pusat konvensyen dan pameran serta pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi pihak hotel dan syarikat berkaitan pelancongan.

Seperti yang dijangka, beliau menangani masalah kemudahan pembiayaan dengan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa bernilai RM2 bilion melalui Bank Negara Malaysia (BNM) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain kemudahan mikro kredit berjumlah RM200 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

Dr Mahathir turut menggesa semua bank mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman bukan hanya kepada perniagaan yang terjejas tetapi juga individu.

Satu lagi perkara penting dalam ucapannya ialah komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2020 untuk meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan.

Projek-projek itu termasuklah membuka untuk bidaan janakuasa tenaga solar 1,400MW melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion, RM3.0 bilion untuk kerja-kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan pelaburan sebanyak RM13 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd.

Pengecualian yuran penyenaraian oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia juga diberikan untuk tempoh 12 bulan, bagi syarikat yang mahu penyenaraian di Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) atau Pasaran ACE dan syarikat dengan permodalan pasaran kurang RM500 juta yang ingin tersenarai di Pasaran Utama.

Sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), BNM akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta dan kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

Bagi pengimport, beliau mencadangkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 April 2020.

Walaupun kerajaan telah menjalankan peranannya, Dr Mahathir turut menggesa sektor swasta untuk turut terlibat bagi memastikan pakej rangsangan itu berjaya dalam meningkatkan ekonomi untuk lebih makmur dan berdaya tahan.

-BERNAMA