Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bukit Aman siasat 12 anggota polis disyaki terima rasuah

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kes 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Pengarahnya Datuk Zamri Yahya berkata siasatan membabitkan pemilikan aset, dokumen pekerjaan dan pergerakan anggota tersebut sama ada mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Polis Diraja Malaysia.

“Jika ada antara mereka tidak mematuhi peraturan, tindakan tatatertib boleh diambil. Selain itu, sekiranya dituduh di mahkamah, mereka akan dikenakan hukuman tahan kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata tindakan tahan kerja boleh diambil atas dasar kepentingan awam dan tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan terhadap anggota terbabit.

Semalam, Bernama melaporkan 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah dan terlibat dalam kes salah guna kuasa.

Berdasarkan siasatan awal, wang rasuah diterima kumpulan terbabit dianggarkan hampir RM500,000 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan lebih 70 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa di utara Semenanjung, kini dalam pemantauan SPRM.

-BERNAMA