Categories
AGENDA NASIONAL

JIPS: Banyak aduan dakwa polis tidak ambil tindakan sindiket dadah, judi

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima banyak aduan daripada orang awam mendakwa segelintir pegawai dan anggota polis tidak menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang di negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata antara kes yang didakwa tidak diambil tindakan adalah berkaitan sindiket pengedaran dadah dan perjudian.

Beliau berkata antaranya melibatkan kesalahan tidak melaporkan dan tiada tindakan diambil terhadap kes-kes jenayah dilapor oleh orang awam dengan mendiamkan diri serta membiarkan kawasan tadbiran mereka berleluasa dengan sindiket berkenaan.

“Sebagai contoh terdapat segelintir Ketua Polis Daerah (KPD) yang berpakat dan bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dan perjudian dengan mengambil habuan tertentu.

“Apabila ada orang awam melaporkan terdapat kegiatan sedemikian (pengedaran dadah dan perjudian), KPD yang menjaga kawasan di bawah pentadbiran masing-masing menafikan menerima aduan atau laporan daripada orang awam,” katanya kepada Bernama.

Zamri berkata isu salah laku dan masalah integriti dalam kalangan anggota dan pegawai masih berterusan walaupun banyak tindakan tatatertib telah diambil sejak 1986.

Beliau berkata habuan sindiket berkenaan dikatakan semakin meningkat mengikut peredaran zaman.

“Jika dahulu, kita hanya ada nombor ekor (tanpa lesen) dan zaman sekarang banyak perjudian dalam talian dan duit yang ditawarkan juga tinggi serta banyak pusat hiburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota jabatan itu yang didapati terlibat dengan sindiket dadah, sama ada secara langsung mahupun tidak.

“Saya tidak boleh nafikan ada anggota polis yang terlibat penjualan ketum…kami ada terima laporan berhubung perkara ini dan anggota ini akan dituduh di mahkamah.

“…dan tindakan itu bukan sampai di situ sahaja, JIPS juga akan mengambil tindakan sehingga mereka ini boleh dibuang kerja,” katanya dalam nada tegas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bukit Aman siasat 12 anggota polis disyaki terima rasuah

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kes 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Pengarahnya Datuk Zamri Yahya berkata siasatan membabitkan pemilikan aset, dokumen pekerjaan dan pergerakan anggota tersebut sama ada mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Polis Diraja Malaysia.

“Jika ada antara mereka tidak mematuhi peraturan, tindakan tatatertib boleh diambil. Selain itu, sekiranya dituduh di mahkamah, mereka akan dikenakan hukuman tahan kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Zamri berkata tindakan tahan kerja boleh diambil atas dasar kepentingan awam dan tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan terhadap anggota terbabit.

Semalam, Bernama melaporkan 12 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah dan terlibat dalam kes salah guna kuasa.

Berdasarkan siasatan awal, wang rasuah diterima kumpulan terbabit dianggarkan hampir RM500,000 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan lebih 70 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa di utara Semenanjung, kini dalam pemantauan SPRM.

-BERNAMA