Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat daerah di Selangor catat kes tertinggi

SHAH ALAM, 25 MAC: Empat daerah di negeri ini mencatatkan taburan kes Covid-19 tertinggi sehingga semalam iaitu Petaling dengan 158 kes, Hulu Langat (103), Gombak (50) dan Klang (28), kata ketua pengarah kesihatan.

Menerusi data yang dikongsi Datuk Dr Noor Hisham Abdullah itu, Kuala Selangor pula mencatatkan 17 kes sementara Sepang (9), Kuala Langat (8) dan Hulu Selangor (5).

“Bagi Kuala Lumpur, Lembah Pantai mencatatkan kes Covid-19 tertinggi dalam Malaysia iaitu 167, ia diikuti Seremban (74), Johor Baharu (59), Titiwangsa (46) dan Kota Bharu (43).

“Sementara negeri dengan taburan kes antara 20 hingga 40 ialah Kinta (34), Kepong (32), Hilir Perak (32), Kluang (31), Batu Pahat (28), Kuala Muda (27) dan Seberang Perai Tengah (22),” katanya.

Di bahagian Malaysia Timur pula, empat daerah mencatatkan taburan kes tertinggi ialah Tawau (49), Kuching (44), Lahad Datu (34) dan Kota Kinabalu (24).

Semalam Noor Hisham memaklumkan terdapat 106 kes baharu telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,624 kes.

Sehingga kini, seramai 64 kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.