Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Istiadat konvokesyen UiTM di seluruh negara ditangguhkan

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 12 MAC: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 yang dijadualkan 24 Mac ini hingga April depan di semua kampus seluruh negara ditangguhkan berikutan wabak Covid-19.

Naib Canselornya Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataan hari ini berkata keputusan berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu bagi menjamin keselamatan warga UiTM serta orang awam.

“Mengambil kira nasihat KKM yang dikeluarkan semalam, Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM pada hari ini memutuskan ia ditangguhkan kepada satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Majlis konvokesyen dijadualkan bermula 24 Mac ini di UiTM Shah Alam dan berakhir pada 16 April di UiTM Seri Iskandar.