SHAH ALAM, 29 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melakukan semburan nyahkuman secara berjadual mulai semalam di enam pasar awam sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19, kata yang dipertuanya.
Shukri Mohamad Hamin berkata enam kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS melakukannya di Pasar Awam Sungai Buaya, Pasar Awam Serendah, Pasar Awam Batang Kali, Pasar Awam Rasa, Pasar Awam Kuala Kubu Bharu dan Pasar Awam Kalumpang bermula jam 4.30 petang setiap hari.
“Peniaga perlu mematuhi syarat dan menjaga kebersihan pasar awam serta mengemas peralatan mereka sendiri. Keselamatan barangan perniagaan adalah tanggungan sendiri dan tiada tuntutan boleh dibuat bagi kerosakan atau kemusnahan.
“Malah, peniaga yang mempunyai simptom Covid-19 juga tidak dibenarkan meniaga dan berada di pasar awam semasa proses nyah kuman dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Shukri berkata operasi juga dilakukan di premis lain termasuk pejabat MDHS, pejabat cawangan, dewan serta kemudahan awam lain seperti tandas awam, terminal bas dan taman permainan.
“Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan rakyat selamat dan terhindar dari virus namun masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan patuh kepada arahan,” katanya.