Categories
SELANGOR

Pusat nilai Covid-19 mini dibuka di Flat Taman Samudera Timur

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebuah pusat penilaian Covid-19 (CAC) mini dibuka hari ini di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

Pegawai Daerah Gombak Shukri Mohamad Hamin berkata CAC itu dibuka untuk pemantauan dan penilaian kesihatan penduduk dijangkiti Covid-19.

“Berdasarkan rekod sejak 1 hingga 16 Julai, terdapat 87 kes positif dan ada sebahagiannya mempunyai masalah kesihatan serta perlu dipantau.

“Selain memudahkan penilaian dan pemantauan, dewan ini juga dijadikan pusat vaksin pada minggu hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai 3,300 penduduk membabitkan 650 unit rumah di flat berkenaan akan menjalani saringan Covid-19 di tiga khemah disediakan dilakukan secara berperingkat mengikut blok bermula Rabu ini.

“Pada masa sama, bantuan keperluan asas kepada semua diagih semalam hasil sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Penyelaras DUN Gombak Setia dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI),” katanya.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuat kuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penduduk Flat Taman Samudera Timur terima vaksin minggu kedua PKPD

SHAH ALAM, 18 Julai: Penduduk Flat Taman Samudera Timur, Gombak dekat sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menerima vaksin Covid-19 pada minggu hadapan.

Pegawai daerah Gombak berkata semua penghuni akan disaring pada minggu pertama pelaksanaan perintah itu sebelum diberi suntikan pada minggu kedua.

“PKPD bermula hari ini sehingga 31 Julai melibatkan 3,000 penduduk dengan 650 kediaman di enam blok Flat Taman Samudera Timur.

“Kita akan mulakan saringan dan selepas itu beri vaksin. Jumlah penerima bakal diketahui selepas mengenal pasti mereka yang negatif serta disuntik sebelum ini,” kata Shukri Mohamad Hamin ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pada hari pertama PKPD sebanyak 650 bakul makanan telah diberikan dan untuk hari berikutnya makanan yang siap dimasak akan diagihkan kepada golongan memerlukan.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuatkuasa 18 hingga 31 Julai.

Sebelum ini tiga lokasi PKPD di Selangor yang diberikan vaksin adalah Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya, Taman Murni di Sepang dan Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS terima 30,000 sarung tangan untuk petugas hadapan

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mengagihkan sarung tangan dan pelitup muka daripada JR Engineering and Medical Technologies (M) Sdn Bhd (JREMT) kepada kakitangannya terutama petugas barisan hadapan

Yang Dipertuanya Shukri Mohamad Hamin berkata JREMT menyumbang 30,000 sarung tangan dan 3,000 pelitup muka kepada MDKS dan ia inisiatif harus dicontohi agensi lain serta tanda keprihatinan terhadap petugas berkaitan yang paling berisiko terdedah kepada virus Covid-19.

“Terima kasih di atas sumbangan ini dan kami menyeru sama ada individu atau syarikat korporat agar dapat tampil bersama membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Urusan JREMT, Ganesan Subramaniam kepada Pengarah Jabatan Perbendaharaan MDHS, Shaiful Rizza Piamin sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial (CSR).

Categories
PBT SELANGOR

MDHS laksana semburan nyahkuman cegah Covid-19

SHAH ALAM, 29 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melakukan semburan nyahkuman secara berjadual mulai semalam di enam pasar awam sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata  enam kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS melakukannya di Pasar Awam Sungai Buaya, Pasar Awam Serendah, Pasar Awam Batang Kali, Pasar Awam Rasa, Pasar Awam Kuala Kubu Bharu dan Pasar Awam Kalumpang bermula jam 4.30 petang setiap hari.

“Peniaga perlu mematuhi syarat dan menjaga kebersihan pasar awam serta mengemas peralatan mereka sendiri. Keselamatan barangan perniagaan adalah tanggungan sendiri dan tiada tuntutan boleh dibuat bagi kerosakan atau kemusnahan.

“Malah, peniaga yang mempunyai simptom Covid-19 juga tidak dibenarkan meniaga dan berada di pasar awam semasa proses nyah kuman dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Shukri berkata operasi juga dilakukan di premis lain termasuk pejabat MDHS, pejabat cawangan, dewan serta kemudahan awam lain seperti tandas awam, terminal bas dan taman permainan.

“Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan rakyat selamat dan terhindar dari virus namun masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan patuh kepada arahan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sasar PBT pertama laksana LCCF

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyasarkan menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan Inisiatif Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) selaras dengan Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya berhasrat mahu mendapatkan Provisional Certificate dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Malaysia Green Technology Corporation, tahun ini.

“Penilaian nanti akan dilihat dari segi inisiatif dan komitmen MDHS dalam memastikan penggunakan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon.

“Antara usaha yang kita sudah jalankan seiring dengan LCCF adalah Hari Tanpa Kenderaan, Kebun Komuniti dan Program Kitar Semula 3R (Reduce, Reuse, Recycle),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor di Setia Eco Templer’s, di sini, semalam.

Turut diadakan Gimik Pelancaran Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Sementara itu, katanya, bagi peringkat permulaan, MDHS memilih Kuala Kubu Bharu seluas 131.06 hektar bagi Kawasan Bandar Rendah Karbon dan seterusnya akan diperluaskan ke seluruh Daerah Hulu Selangor pada tahun akan datang.

“Banyak teras yang kita mahu laksanakan dalam Pelan Strategik MDHS 2019-2023 dan antaranya mahu menjadi bandar rendah karbon.

“Ini bukan sekadar penulisan dan kata-kata tetapi kita akan berusaha untuk mencapai hasrat berkenaan dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 35 kakitangan MDHS menerima penghargaan menerusi APC 2018 dengan membawa pulang sijil dan wang tunai.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

100 kanak-kanak jayakan bengkel kitar semula MBSA

 

OLEH SHEEDA FATHIL

Shah Alam, 9 NOV: Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak menjayakan Bengkel Pemantapan Program Kitar Semula Di Peringkat Awal Kanak-Kanak Untuk Tadika anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Timbalan Datuk Bandarnya, Shukri Mohamad Hamin berkata, program kitar semula perlu diperkenalkan di peringkat awal malah penglibatan taska dan tadika adalah salah satu landasan terbaik.

“Konsep bengkel hari ini “Let’s Have Fun With Recycle” secara tidak langsung dapat mewujudkan keseronokan dalam diri kanak-kanak.

“Mereka juga mempelajari apakah itu 3R, memupuk semangat kerja berpasukan serta membina dan mereka cipta barang baru daripada bahan buangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penutupan Bengkel Pemantapan Program Kitar Semula Di Peringkat Awal Kanak-Kanak Untuk Tadika di Dewan MBSA cawangan Setia Alam di sini, hari ini.

Bengkel sehari membabitkan kanak-kanak daripada 25 tadika sekitar Shah Alam itu turut dilibatkan dalam aktiviti reka cipta ‘Art On Canvas Featuring Used Plastic Flowers’ dan ‘Recycle Batik Art’.

Terdahulu, MBSA menganjurkan program kitar semula peringkat sekolah dengan kerjasama F&N Beverages Marketing sejak 2007 hingga kini, namun penglibatan taska dan tadika mula dilaksanakan sejak 2014.

MBSA sentiasa proaktif dalam melaksanakan aktiviti yang berteraskan hijau antaranya Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Program Tanam Pokok “Shah Alam Trees For Life”, Kebun Komuniti dan pelbagai lagi.