Categories
AGENDA NASIONAL

Nyahkuman di semua pejabat TNB kawal Covid-19

SHAH ALAM, 10 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan proses penyahkuman dan pembersihan pejabat pada 7 dan 8 Mac lalu sebagai pencegahan susulan penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Korporatnya Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata proses membabitkan Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar, Wisma TNB di Jalan Timur, Petaling Jaya dan semua cawangan TNB.

“Sejak minggu lalu, TNB mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko penularan wabak dengan melakukan saringan kesihatan kepada warga kerja dan pelawat di semua pejabat TNB.

“Tindakan proaktif ini selari keprihatinan terhadap kesihatan dan keselamatan warga kerja dan semua pihak yang berurusan di pejabat kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata langkah sama turut dilaksanakan di Kedai Tenaga di seluruh negara dengan pegawai bertugas dibekalkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.