Categories
AGENDA GLOBAL

Penipuan: Rakyat Malaysia, isteri ditahan di Thailand

BANGKOK, 3 MAC: Polis Thailand menahan seorang lelaki rakyat Malaysia dan isterinya warga tempatan kerana didakwa terbabit dalam kes penipuan melalui panggilan telefon, membabitkan jutaan baht.

Lelaki berusia 29 tahun dan isterinya, 33, yang hidup mewah ditahan pada Sabtu di Bungkum, Bangkok, selepas seorang wanita membuat laporan di balai polis Loei di timur laut Thailand. Wanita itu kerugian 3,000 baht akibat ditipu.

Dipercayai pasangan itu, berada di Thailand sejak dua tahun lalu, berjaya mengaut keuntungan sekurang-kurangnya 50 juta baht, hasil penipuan melalui panggilan telefon.

Komander Polis Wilayah, Jeneral Leftenan Charoenwit Sriwanich berkata polis menemui wang tunai bernilai 10 juta baht, ratusan kad pengeluaran wang automatik, telefon bimbit dan peranti elektronik di kediaman mereka yang dianggarkan bernilai lapan juta baht.

“Polis turut merampas dua buah kereta mewah iaitu Hummer dan Mercedes Benz serta membekukan akaun bank yang mempunyai simpanan berjumlah 10 juta baht,” katanya ketika dihubungi.

Charoenwit berkata siasatan awal mendapati pasangan itu mencari maklumat mangsa yang ditipu ketika membuat pembelian dalam talian menerusi Facebook dan menghubungi mangsa.

“Pasangan itu akan memberi nasihat kepada mangsa bagaimana untuk mendapatkan kembali duit mereka, ” katanya.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan menyamar dan menipu secara dalam talian.

– BERNAMA